MELAKA 6 Dis. - Operasi Sekolah Harapan untuk remaja hamil luar nikah di Jasin di sini, akan dihentikan sekiranya didapati tiada lagi kes mengandung luar nikah di kalangan pelajar atau remaja.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ia selaras matlamat penubuhan institusi yang baru berusia enam bulan itu, untuk memberi perlindungan kepada remaja hamil dan menangani gejala buang bayi.
Menurutnya, setakat ini empat dari 10 pelajar yang berada di sekolah itu selamat melahirkan anak dan sudah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
"Kita tubuhkan Sekolah Harapan bukan untuk menggalakkan maksiat tetapi ingin sediakan tempat pelajar mengandung melahirkan anak di tempat selamat dan selesa bukan membuangnya merata-rata.
"Jika selepas ini, tiada lagi kes pelajar mengandung luar nikah, kita akan tutup sekolah ini tetapi setakat ini, rasanya kita sudah lakukan yang terbaik untuk membendung kes buang dan bunuh bayi," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Sukan Tahunan Persatuan Penduduk Taman Saujana Seksyen 2 di sini semalam.
Penubuhan Sekolah Harapan dicetuskan oleh Mohd. Ali bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil selain menangani gejala buang bayi yang semakin berleluasa.
Sekolah Harapan yang dikendalikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerima kumpulan pertama lima pelajarnya pada 20 September lalu.
Selain itu, kata Mohd. Ali, usaha pihaknya menubuhkan Sekolah Harapan dianggap salah satu usaha berkesan setelah mendapati tiada lagi kedengaran insiden pembuangan bayi di Melaka sejak beberapa bulan lalu.
"Saya gembira kerana dimaklumkan ada keluarga menyisihkan anak mereka apabila mengandung luar nikah namun selepas bayi selamat dilahirkan, ada ibu bapa sanggup jaga.
"Saya rasa ini lebih baik daripada bayi mereka ini dibunuh atau dibuang demi untuk menyimpan rahsia atau menutup malu," katanya.
Menurutnya, sehingga kini kira-kira 20 ibu bapa sedang menunggu giliran menghantar anak masing-masing di Sekolah Harapan namun pihaknya hanya menerima permohonan awal disebabkan ruang terhad.
Bagi menampung kekurangan itu, kata Mohd. Ali, pihaknya sedang membina bangunan tambahan berhampiran bangunan sedia ada bagi menempatkan sehingga 40 pelajar baru.
No comments:
Post a Comment