KOTA BELUD 6 Dis. - Sekolah merupakan institusi pendidikan yang penting dalam usaha melahirkan generasi pemimpin negara yang cemerlang.
Jadi tidak hairanlah sekiranya sekolah menjadi sebuah institusi yang amat signifikan kepada seluruh masyarakat termasuk di luar bandar sejak sekian lama.
Ini dapat dilihat apabila Sekolah Kebangsaan Nanamun di sini yang dibina sendiri secara gotong-royong oleh penduduk kampung pada 1960.
Sekolah itu pada awalnya dibina menggunakan kayu nibung dan atap nipah ekoran kesedaran di kalangan penduduk kampung terhadap pentingnya pendidikan.
Usaha penduduk kampung itu akhirnya berbaloi kerana sekolah itu telah berjaya melahirkan ramai generasi yang berjaya termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Namun di sebalik kejayaan melahirkan ramai tokoh terkenal, infrastruktur sekolah itu kini amat daif malah dikategorikan sebagai antara sekolah yang kritikal.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sekolah yang dibuat daripada kayu itu amat daif dimana terdapat kebocoran atap selain dinding dan lantai yang sudah reput.
Guru Besar SK Nanamun, Alkesah Bidin berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 200 murid daripada tahun 1 hingga tahun 6 di sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, sebanyak tujuh kelas di sekolah itu amat daif kerana terdapat kebocoran dan lantai serta dinding yang rosak.
"Malah pendawaian yang ada juga tidak berapa baik di mana pada waktu hujan, elektrik akan terputus menyebabkan murid-murid tidak dapat belajar dengan selesa.
"Jadi kami tidak meminta bangunan mewah tetapi cukup dibina semula supaya murid-murid mendapat suasana pembelajaran baru dan selesa seterusnya meningkatkan kecemerlangan sekolah," katanya di sini kelmarin.
Menurutnya, keadaan tersebut juga menjadi antara faktor keputusan Ujian Penilaian Menengah Rendah (UPSR) di sekolah itu menunjukkan trend penurunan dari tahun ke tahun.
Dalam pada itu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanamun, Pinjaman Hassin berkata, sekolah itu perlu diberi perhatian kerana terbukti melahirkan ramai tokoh akademik dan politik yang berjaya.
Selain itu, katanya, usaha pembaikan segera perlu dilakukan memandangkan pemantauan awal Jabatan Kerja Raya mendapati bangunan sekolah itu sudah tidak selamat.
"Anak-anak kami terpaksa bergadai nyawa setiap hari apatah lagi tempat ini terdedah kepada angin kuat yang boleh menyebabkan dinding jatuh selain keadaan pendawaian elektrik yang berbahaya.
"Jadi saya selaku YDP PIBG meminta tulus ikhlas kerajaan supaya sekolah ini dapat dibaiki kerana beberapa kali kami minta tetapi Jabatan Pelajaran negeri mengatakan tiada peruntukan.
"Malah apabila kami minta lagi mereka menyatakan ia tidak layak kerana tidak cukup murid sedangkan murid di sini seramai 200 orang," katanya.
Seorang penduduk kampung, Mohd. Jeri Abdullah, 47, berkata, keadaan sekolah berkenaan menyebabkan dia berasa bimbang tentang keselamatan anaknya.
Justeru, katanya, dia berharap ia dapat dibaiki segera demi keselamatan semua murid.
"Pada masa ini terdapat dua anak saya belajar di sini iaitu di tahun enam dan tiga, saya sentiasa berpesan kepada mereka supaya berhati-hati terutamanya pada masa ribut.
"Selain itu saya juga berpesan kepada mereka supaya tidak berada dekat dengan wayar elektrik terutamanya pada musim hujan," katanya.
Bagi Mutamad Samsudin, 43, keadaan infrastruktur di sekolah itu perlu dibaiki segera kerana menyukarkan proses pembelajaran murid-murid.
"Semua enam anaknya termasuk empat orang yang pernah bersekolah di sini pernah mengadu mengenai masalah infrastruktur sekolah yang tidak selesa.
"Malah dua lagi anak saya yang bersekolah di sini juga sering bertanyakan mengapa keadaan sekolah ini tidak sebaik sekolah lain," katanya.
Katanya, pembinaan semula sekolah itu akan memberikan semangat kepada semua murid untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.
Sementara itu, Cahaya Halaman, 36, berkata, meskipun sekolah berkenaan daif ia tidak menjadi penghalang kepada anak-anaknya untuk berjaya dalam pelajaran.
"Anak sulung saya kini belajar di Universiti Malaysia Sabah dan yang lain turut mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
"Bagaimanapun saya juga berharap sekolah ini dibaiki bagi memberikan keselesaan kepada pelajar di sini seperti yang dikecapi pelajar di sekolah lain," ujarnya
No comments:
Post a Comment