Tuesday, December 7, 2010

Trak rempuh kereta, lima sekeluarga maut

REMUK: Beginilah keadaan kereta Proton Wira yang remuk selepas dirempuh trak tentera di Kilometer 9.6 Jalan Pantai dekat Pasir Panjang, Port Dickson, Ahad lalu. -- Foto THE STAR
PORT DICKSON: Lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki dirempuh sebuah trak tentera di Kilometer 19.6 Jalan Pantai, dekat Pasir Panjang di sini.Mangsa yang terkorban dalam nahas sekitar 11.15 pagi itu ialah pemandu kereta Proton Wira Aeroback, Encik Saipol Naaim Mat Dan, 36 tahun; isterinya, Cik Nordiana Mohd. Said, 30 tahun; serta anak mereka, Muhammad Harith Firdaus, tiga tahun.Turut maut ialah ibu bapa Cik Nordiana, Encik Mohd Said Lakan, 58 tahun; dan isterinya, Cik Rosnani Buyong, 50 tahun; yang duduk di bahagian belakang kereta terbabit.Difahamkan semua mangsa yang berasal dari Hulu Langat, Selangor, sedang dalam perjalanan menuju ke Melaka, manakala trak dari Kem Terendak di Melaka sedang menuju arah yang bertentangan.Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Baljeet Singh, memberitahu kemalangan dipercayai berlaku apabila trak tentera berkenaan hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah kereta lain, jenis Proton Waja.Trak yang dinaiki lima anggota tentera itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu Encik Saipol Naaim, sebelum terbalik.Proton Wira yang dipandu Encik Saipol remuk teruk selepas diseret trak tentera itu ke dalam parit.Kereta Proton Waja itu pula kemudian bertembung dengan sebuah kereta MyVi dan Kia Spectra yang berada di belakang trak tentera itu.Lima sekeluarga itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.Empat daripada mereka terperangkap dalam Proton Wira yang remuk teruk, manakala Muhammad Harith, tercampak keluar.Pemandu dan lima askar dalam trak tentera mengalami cedera ringan. Pemandu Proton Waja, isteri dan dua anak kecilnya juga dikejarkan ke hospital untuk rawatan.Seorang saksi, Encik Hardi Jamu, 37 tahun, yang membeli barang tidak jauh dari situ berkata beliau terkejut kerana mendengar beberapa bunyi dentuman kuat akibat perlanggaran melibatkan lima kenderaan.'Saya terus berlari ke kereta Proton Wira itu. Saya sebak melihat mayat mangsa, dalam keadaan ada yang kepalanya terbelah dan terputus dalam kereta yang remuk teruk itu,' kata beliau.Pasukan bomba dari Port Dickson dan Teluk Kemang mengambil masa 30 minit mengeluarkan mayat mangsa yang terperangkap dalam Proton Wira itu. Mayat mereka kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson. -- BHM, The Star, Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment