Tuesday, December 7, 2010

Kelantan catat kadar tertinggi jangkitan HIV

KOTA BHARU: Kelantan menjadi negeri paling tinggi mencatat kadar jangkitan HIV bagi tempoh dua tahun, sejak 2008 hingga 2009.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kadar jangkitan HIV di Kelantan bagi tempoh tersebut menunjukkan peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kadar di seluruh Malaysia.Menurutnya, pada 2008 kadar jangkitan HIV di Malaysia pada nisbah 13.3 orang bagi setiap 100,000 penduduk, manakala pada 2009 10.8 orang, sedangkan Kelantan mencatat kadar 47 orang pada 2008 dan 37.2 orang pada 2009.Menurut beliau, peningkatan kes wanita dijangkiti HIV di Malaysia juga melibatkan negeri Kelantan dengan jumlah tertinggi iaitu 1,211 kes, diikuti Johor (1,124 kes) dan Selangor (1,107 kes).'Ekoran peningkatan kes ini, saya minta seluruh rakyat Kelantan segera melaksanakan Gempur Aids iaitu satu program bagi membendung peningkatan kes HIV dan Aids di negara ini,' kata beliau pada majlis Pelancaran Sambutan Hari Aids Sedunia 2010 peringkat kebangsaan, di sini kelmarin.Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.Datuk Seri Liow berkata senario HIV di Malaysia sudah berubah berbanding 10 tahun lalu yang mencatat 75 peratus kes dikesan akibat berkongsi jarum suntikan, berbanding tahun lalu hanya mencatat 55 kes saja.Menurutnya kes jangkitan melalui hubungan seksual menunjukkan peningkatan berbanding 10 tahun lalu daripada 18 peratus kepada 32 peratus tahun lalu.'Nisbah wanita dijangkiti HIV juga semakin meningkat dengan 3,206 suri rumah dijangkiti sehingga September lalu. Golongan ini diminta menasihatkan suami yang menagih dadah supaya menjalani ujian HIV serta memakai kondom apabila membuat hubungan jenis,' kata beliau.Beliau berkata, dengan pelbagai langkah pencegahan penyakit yang dilaksanakan kerajaan dan agensi lain, kes HIV semakin menurun daripada 6,756 pada 2003 kepada 3,080 kes pada 2009, manakala bagi sembilan bulan pertama tahun ini, hanya 2,741 kes HIV baru dilaporkan.Gaya hidup bebas seperti dilakukan segelintir lelaki yang selalu ke pekan Golok, Selatan Thailand, dipercayai menjadi punca meningkatnya penyakit HIV di Kelantan. -- BHM.

No comments:

Post a Comment