Tuesday, December 7, 2010

'Peluang bersih nama'

Foto
Mohamad Khir yakin perbicaraan buktikan beliau tak salah terima dua lot tanah, banglo

  • BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam atas dakwaan pembelian hartanah bernilai RM3.5 juta. - Foto Aizuddin Saad
  • Foto
    KEDIAMAN Dr Khir Toyo di Seksyen 7, Shah Alam
  • .
  • Foto
    Shamsuddin Haryuni


SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, yakin tidak bersalah dan mahu membersihkan namanya di mahkamah.Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan ADUN Sungai Panjang itu berkata, beliau yakin dengan sistem perundangan negara dan mengucapkan terima kasih kepada pendakwa raya kerana memberinya peluang menjelaskan isu berkaitan banglo dan tanah dimilikinya dalam mahkamah nanti.Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi, iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di alamat No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta, manakala Shamsuddin pula mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor (ketika itu) di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohamad Khir adalah Menteri Besar Selangor ke-13 dan memegang jawatan itu dari Ogos 2000 hingga Februari 2008. 
Di mahkamah sama, Shamsuddin, 52, turut mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohamad Khir melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh sama. Shamsuddin, didakwa mengikut Seksyen 109 KK yang dibaca bersama Seksyen 165 KK.

Pendakwaan dilakukan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah; Ketua Unit Pelucuthakan Harta di Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya C Vignesh Kumar.

Mohamad Khir diwakili peguam M Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi, manakala Shamsuddin oleh S Arunan.

Abdul Gani kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan tidak kurang RM1 juta bagi kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu amat serius dan membabitkan nilai yang sangat besar.

Athimulan memohon jaminan RM50,000 kerana menyifatkan RM1 juta adalah tidak munasabah selain jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh kemudian menetapkan jaminan RM750,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan. Mohamad Khir dijamin abangnya kira-kira tiga jam kemudian.

Azhaniz Teh juga membenarkan permohonan pendakwaan supaya kedua-dua kes dibicarakan bersama dan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Abdul Gani memberitahu pemberita sekurang-kurangnya 16 saksi akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohamad Khir yakin apabila perbicaraan berakhir kelak beliau akan didapati tidak bersalah.

Ditanya bagaimana beliau mengumpul wang jaminan itu, Mohamad Khir berkata, keluarganya bersama-sama membantunya, selain turut meminjam daripada orang lain.

“Jaminan RM750,000 adalah jumlah yang sangat tinggi dan disebabkan itulah mereka mengambil masa tiga jam untuk mencari wang,” katanya.

Sementara itu, dalam laman blognya, www.drkhir.com, Mohamad Khir dakwaan dihadapinya adalah bukti rumahnya bukanlah berharga RM24 juta seperti didakwa.

“Saya juga akan melepaskan jawatan Ketua Pembangkang Selangor berkuat kuasa serta-merta, manakala jawatan dalam parti saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Jika ia menjadi masalah kepada parti, saya rela mengundur diri,” katanya. 

No comments:

Post a Comment