Tuesday, December 7, 2010

Siling kafeteria runtuh

Foto
SHAFIE menunjukkan keadaan siling yang reput di kafeteria Kompleks KDN, Ayer Keroh.



Foto
ORANG ramai menjamu selera berhampiran kawasan siling reput di kafeteria Kompleks KDN, Ayer Keroh.


Pengurusan Kompleks KDN Ayer Keroh diminta baiki dewan makan elak nahas ditimpa nahas
MELAKA: Orang ramai dan peniaga di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh dekat sini, bimbang berikutan beberapa struktur siling di dewan kafeteria kompleks itu runtuh, Ahad lalu.Mereka menyedari siling berhampiran deretan kedai itu berlubang Ahad lalu, sebelum dimaklumkan pengawal bertugas ia runtuh pada petang hari sama dipercayai kesan dimakan anai-anai.Peniaga, Shafie Osman, 31, berkata pada mulanya beliau tidak menyangka siling itu runtuh dan mereka kini bimbang jika keseluruhan siling berkenaan mengalami nasib sama kerana sebahagian besar sudah reput.

Beliau berkata, mereka bernasib baik kerana pada petang Sabtu lalu, tiada pelanggan dan jika sebaliknya, kejadian berkenaan mungkin boleh mengancam nyawa mereka yang menjamu selera di situ.

“Kesan kayu dimakan anai-anai juga jelas kelihatan pada siling di dewan kafeteria itu dan dibimbangi runtuh pada bila-bila masa.

"Pihak pengurusan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu mendakwa mereka belum mendapat peruntukan untuk membaikinya dan apa yang boleh mereka lakukan hanya melarang orang ramai menggunakan laluan di lokasi runtuhan itu," katanya kepada Berita Harian di sini. 
Kompleks KDN menempatkan beberapa jabatan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Negeri Melaka dibuka sejak empat tahun lalu dan dikunjungi orang ramai setiap hari untuk pelbagai urusan.

Tinjauan Berita Harian mendapati runtuhan siling sudah dialihkan ke bahagian tepi dan laluan di kawasan berkenaan dihalang digunakan orang ramai dengan menggunakan pita halangan melintas yang mempunyai tanda ‘Awas Bahaya.’


Difahamkan, dewan kafeteria yang menempatkan deretan kedai makan dan dibuka untuk kemudahan kakitangan termasuk orang ramai menjamu selera pada waktu pagi dan tengah hari.



Peniaga, Hanafi Ahmad, 42, mendakwa beliau risau jika ada siling lain reput dan runtuh pada bila-bila masa yang boleh membahayakan orang ramai.

"Saya berharap pihak pengurusan dapat bertindak segera dengan membaiki runtuhan siling ini, selain membuat pemeriksaan pada keseluruhan siling di dewan kafeteria supaya berada dalam keadaan selamat.

"Jika masalah ini dibiarkan tanpa pemeriksaan menyeluruh, kami risau jika ada kayu di siling yang sudah reput dan menunggu masa untuk runtuh. 

“Saya harap semua struktur siling dapat dibaiki segera dan digantikan dengan telulang besi yang lebih kuat serta kukuh," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Misliah Jais, 23, mendakwa selain dewan kafeteria, siling di tandas wanita juga mengalami nasib sama dan mempunyai kesan reput.

"Masalah ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu segera ditangani sebelum kejadian buruk menimpa orang ramai yang berurusan di kompleks ini," katanya. 

No comments:

Post a Comment