Saturday, March 5, 2011

ADUN Lenggeng bersalah






RASAH 4 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim (gambar) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM2,000 daripada seorang kontraktor bagi mendapatkan permit menjual pasir, dua tahun lalu.
Mustafa, 52, yang memakai kot berwarna hitam nampak tenang di kandang tertuduh sementara isteri dan beberapa penyokongnya di galeri awam kelihatan menggelengkan kepala apabila keputusan dibacakan oleh Hakim Amran Jantan.
Dia didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada M. Manimaran di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin pada pukul 5 petang, 31 Ogos 2008.
Mustafa yang dipilih sebagai ADUN Lenggeng pada 2008 didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit menjual pasir kepada pengadu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Amran menetapkan 1 April ini untuk menjatuhkan hukuman.
Mahkamah bagaimanapun membebaskan Mustafa daripada dua lagi tuduhan meminta wang daripada pengadu melalui orang tengah berjumlah RM2,000 dan RM3,000 di Lot 1321, Mukim Pantai pada 28 Ogos 2008 serta di pejabat SPRM di Jalan Dato’ Kelana Makmur pada 30 Ogos 2008.
Terdahulu, Amran berkata, tertuduh yang memberi keterangan bersumpah mendakwa dia tidak menerima atau meminta wang itu daripada pengadu dan juga memberitahu bahawa kedatangannya di restoran tersebut disalaherti oleh pengadu.
‘‘Bagaimanapun, seorang saksi pendakwaan yang juga anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berada di lokasi kejadian mendengar perbualan mereka mengenai surat sokongan untuk mendapatkan permit menjual pasir dan besi buruk.
‘‘Keterangan saksi yang melihat kejadian tersebut konsisten dengan keterangan yang diberikan oleh pengadu dalam kes ini,’’ katanya.
Ujar Amran, tertuduh juga mendakwa tidak mengambil dan hanya menyentuh wang RM2,000 dalam satu sampul surat yang diletakkan di atas meja oleh pengadu serta memberitahu bahawa dia tidak selesa dengan tindakan pengadu tersebut.
‘‘Namun satu rakaman video menunjukkan tertuduh masih duduk ditempat duduknya dan dia juga dilihat berbual dan ketawa sambil menghisap rokok.
‘‘Tindak-tanduk tertuduh menunjukkan dia gagal memberi penjelasan yang jujur,’’ ujarnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Kevin Morais manakala Mustafa diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Feisal Mustapha.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment