Saturday, March 5, 2011

Darren tawar selesai kes luar mahkamah



KUALA LUMPUR 4 Mac - Ahli perniagaan, Darren Choy Khin Min yang didakwa memikat model dan pengacara Daphne Iking, hari ini menawarkan penyelesaian secara baik di luar mahkamah terhadap saman yang dikemukakan ke atasnya oleh bekas suami wanita tersebut.
Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Darren memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa pihaknya berbuat demikian agar 'tidak membuka pekung' anak guamnya selaku defendan mahupun plaintif, Ryan Chong Yiing Yih, selain menjimatkan masa serta kos mahkamah.
Peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Ryan, tidak membantah tawaran tersebut dan memohon mahkamah ditangguhkan sehingga Isnin ini bagi membolehkannya berbincang dengan anak guamnya berhubung tawaran tersebut.
Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, yang mengendalikan perbicaraan tersebut bagaimanapun menolak permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh Kian Kheong.
''Saya mahu prosiding pada hari ini tetap diteruskan walaupun ada tawaran penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak,'' tegas majistret tersebut.
Jagjit turut bersetuju dengan Kian Kheong agar perbicaraan pada hari ini ditangguhkan kerana tidak mahu isu-isu baharu berbangkit ketika sesi soal balas saksi.
Namun Engku Ahmad Rashidi tetap berkeras mahu prosiding diteruskan dengan pemeriksaan balas terhadap Ryan selaku saksi pertama.
Mahkamah tersebut sedang mendengar perbicaraan saman peribadi yang dikemukakan oleh Ryan, 32, terhadap Darren, 46, kerana didakwa memikat atau membawa pergi Daphne, 32, yang ketika itu masih isterinya.
Darren didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah di sebuah rumah yang beralamat di B-13-2 The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara Julai 2007 hingga September 2008.
Dia dipercayai individu pertama didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Darren turut diwakili peguam Akbardin Abdul Kader.
Terdahulu, ketika sesi soal balas oleh Jagjit terhadap Ryan, lelaki itu menafikan dakwaan Daphne yang menyatakan bahawa ibu bapa ahli perniagaan itu ingin merosakkan kerjaya bekas isterinya yang disyaki mempunyai hubungan dengan Darren.
Dakwaan Daphne itu terkandung dalam dokumen petisyen penceraian pasangan tersebut yang dikemukakan oleh model tersebut pada tahun lalu.
Ketika ditanya oleh Jagjit berhubung publisiti perkahwinannya dengan Daphne di Bali pada Januari 2007, yang mendapat liputan majalah Hello!, Ryan menjawab:
''Saya menafikan ingin publisiti murahan. Sebenarnya perkara itu diatur oleh Daphne tiga hari sebelum perkahwinan berlangsung.
''Saya cuma bersetuju sebab perkara itu telah dirancang oleh Daphne,'' jelas Ryan.
Perbicaraan bertambah hangat apabila Jagjit mendakwa wujud percanggahan keterangan saksi tersebut ketika di awal perbicaraan berlangsung dengan laporan polis yang dibuat terhadap Darren pada 13 November 2008.
Menurut Jagjit, dalam laporan polis tersebut, Ryan memaklumkan dia 'terserempak' dengan Daphne ketika pertama kali melihat bekas isterinya dicium dan dipeluk oleh Darren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai 2008.
Sebaliknya, dakwa Jagjit, pada prosiding 29 November tahun lalu, Ryan memberi keterangan sebenarnya dia 'menunggu' ketibaan Daphne yang baharu tiba dari London.
''Kamu penipu!'' jerit Jagjit di dalam mahkamah.
Ryan yang kelihatan tenang di kandang saksi dengan bersahaja menafikan dakwaan peguam tersebut.
Perbicaraan tersebut yang bermula sejak pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 5 petang, akan disambung semula Isnin ini.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment