Oleh Norhayati Umor
2011/03/05
BALIK PULAU: Seorang wanita bukan saja mengharungi pengalaman perit bersalin anak ketiga ‘dibidan’ suami di rumah mereka, semalam tetapi turut berdepan saat-saat cemas diusung menuruni anak tangga setinggi 21 tingkat di Pangsapuri Saujana Heights di Teluk Kumbar, di sini, selepas ketiga-tiga lif di kediaman itu tidak berfungsi. Lebih malang lagi, Mariana Abdullah, 28, mengalami pendarahan serius selepas selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.2 kilogram jam 6.40 pagi itu. Dua beranak itu kini dirawat di Hospital Balik Pulau (HBP) dan berada dalam keadaan stabil.Ketika ditemui tengah hari semalam, Mariana berkata dia tidak dapat membayangkan apa yang bakal menimpa diri dan kandungannya selepas sakit bersalin awal pagi semalam kerana tidak mungkin menuruni anak tangga untuk ke hospital dalam keadaan mencemaskan.
Katanya, suaminya, Hussen Mohd Hanifah, 31, pula tidak sanggup mendukungnya menuruni tangga kerana bimbang keselamatan Mariana serta bayi dalam kandungan.
Berikutan itu, suaminya meminta bantuan jiran untuk menghubungi HBP.
“Suami terpaksa menjadi bidan kerana kandungan sudah keluar. Saya bersalin tetapi uri pula tersangkut,” katanya.
Setengah jam selepas bersalin, tiga kakitangan HBP, masing-masing jururawat, pembantu perubatan dan pemandu ambulans tiba dan jururawat berkenaan memberi bantuan kepada Mariana, termasuk memotong uri yang masih melekat.
Oleh kerana Mariana mengalami pendarahan, dia terpaksa diusung turun untuk dibawa ke HBP.
“Tuhan saja yang tahu perasaan saya dibawa pengusung dari tingkat 21 menuruni anak tangga itu. Tetapi, mujurlah, saya dan anak selamat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya perasaannya menyambut bayi sendiri, Hussen berkata, dia panik serta takut ketika menyambut kelahiran anaknya yang turut disaksikan dua anak perempuannya berusia tujuh dan empat tahun.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana isteri dan bayi selamat walaupun terpaksa membidan dan mengusungnya menuruni tangga,” katanya yang berharap kejadian itu dapat dijadikan pengajaran oleh pihak pengurusan bangunan.
Bulan lalu, Berita Harian melaporkan masalah dihadapi penghuni Pangsapuri Saujana Heights, yang hidup tertekan kerana terpaksa naik turun tangga berikutan lif bangunan itu tidak beroperasi sejak sebulan lalu.
Malah, Hussen berkata, dia sendiri pernah membelanjakan RM500 bagi menampung kos membaiki salah satu lif itu sebagai persediaan awal kerana Mariana asalnya dijadual bersalin 11 Mac ini.
Malangnya, apabila isterinya benar-benar memerlukan lif, ia tidak berfungsi.
No comments:
Post a Comment