Saturday, March 5, 2011

Pengerusi HRP didakwa lagi



KUALA LUMPUR 4 Mac - Selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh dua hari lalu atas tuduhan menjadi penyokong pertubuhan haram Hindraf, Pengerusi Parti Hak Asasi Manusia (HRP) Perak, P. Ramesh didakwa pula di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan serupa.
Hari ini dia didakwa atas dua pertuduhan iaitu menganggotai Hindraf dan memiliki dokumen serta kain rentang berkaitan pertubuhan tersebut tanpa kebenaran, bulan lalu.
Ramesh, 40, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan dan meminta dibicarakan di hadapan Majistret Mohd. Azali Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, Ramesh yang diwakili peguam, M. Manoharan dan P. Uthayakumar didakwa menganggotai pertubuhan 'Hindraf Makkal Sakti' yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di lorong sebelah Hotel Mexico, Jalan Thambipillay, persimpangan Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini pada pukul 8.30 pagi, 27 Februari lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Bagi tuduhan kedua, Ramesh didakwa memiliki beberapa helai kain rentang dan dokumen-dokumen yang dikeluarkan untuk kepentingan pertubuhan haram Hindraf pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 47 akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Chew Zi Xian mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Mohd. Azali menetapkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 11 April ini.Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment