Saturday, March 5, 2011

TPM nafi BN bayar Ummi ceramah





2011/03/05

TEMERLOH: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan yang mengaitkan Barisan Nasional (BN) membayar ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali untuk mendedahkan semua rahsia berkaitan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata, Anwar tidak menjawab semua tuduhan terhadapnya itu jika terbukti ia fitnah.
"Siapa bayar (Ummi Hafilda)? Sepatutnya Anwar kena jawab apa yang dibangkitkan Ummi Hafilda, tetapi sebaliknya dia pula menuduh Ummi Hafilda dibayar BN," katanya pada majlis Mesra Rakyat di Kampung Badok, di sini, semalam.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar dalam ceramahnya di DUN Kerdau yang mengaitkan BN kononnya membayar Ummi Hafilda untuk berceramah bersebelahan atau bertentangan dengan lokasi ceramah Ketua Pembangkang itu di Rumpun Makmur, di sini, malam kelmarin.

Pada majlis itu Muhyiddin turut meluluskan peruntukan RM500,000 bagi membina masjid baru di Kampung Badok.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, Ummi Hafilda datang ke DUN Kerdau untuk memberi penjelasan mengenai apa yang beliau tahu mengenai Anwar dan abangnya, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

"Jika Anwar berpendapat apa yang dilemparkan Ummi Hafilda satu pembohongan dan fitnah, dia kena jawab dengan jelas mengatakan itu adalah fitnah.
"Jangan kaitkan dengan BN sebab kita pun tidak jemput Ummi Hafilda, tetapi dia datang untuk memberi penerangan secara langsung, dan ini membantu kita kerana dia ada pengalaman, sejarah dan pertalian darah dengan Azmin. Jadi apa yang disebutkannya pasti ada asas yang Ummi Hafilda sendiri lebih tahu," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kenaikan harga beberapa barangan keperluan harian sejak kebelakangan ini disebabkan masalah kekurangan bekalan bahan makanan dunia dan bukan dilakukan sewenang-wenangnya oleh kerajaan BN.

No comments:

Post a Comment