Saturday, March 5, 2011

Pemuda Pas sokong hapus saman ekor

SH


IPOH – Dewan Pemuda Pas Negeri menyokong penuh kenyataan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi jaminan semua saman ekor disenaraihitamkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis akan dihapuskan jika rakyat memberikan sokongan dan kemenangan mutlak kepada Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, mereka yakin menyenaraihitamkan semua kenderaan kerana pesalah yang dikenakan saman tidak membayar kompaun itu adalah bertentangan dengan peruntukan perlembagaan.

Menurutnya, dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, hak terhadap harta telah menjelaskan tidak ada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

“Ini bermakna, JPJ dan polis bertindak bertentangan dengan peruntukan sedia ada berikutan setiap tindakan menyenaraihitamkan kenderaan haruslah melalui proses undang-undang di mahkamah,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Dewan Pemuda Pas Negeri yakin jaminan daripada Pas dan PR mampu merungkaikan kekalutan undang-undang berkenaan yang dilihat seperti tidak mengikut lunas peruntukan sedia ada dan hak bagi seorang rakyat di bawah kerajaan berdaulat yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Hala tuju untuk sampai ke Putrajaya adalah komitmen yang akan memastikan semua bentuk penindasan kepada rakyat akan dikeluarkan daripada kepompong penindasan yang semakin meruncing,” katanya.

No comments:

Post a Comment