Saturday, March 5, 2011

Pemisah Kaukasus seru jihad terhadap Rusia



MOSCOW 4 Mac - Pemimpin pemisah Islam wilayah Kaukasus, Doku Umarov semalam menyeru masyarakat Islam Rusia melancarkan jihad menentang negara ini menerusi satu video yang disiarkan di laman webnya.
"Saya menyeru saudara sekelian melancarkan jihad dan menghapuskan musuh-musuh Allah.
"Saya minta masyarakat Islam di Rusia supaya bangkit dan bersuara lantang di semua tempat," katanya menerusi video selama lapan minit yang menyaksikan beliau diapit dua lelaki dan dirakamkan di kawasan hutan bersalji.
Sedekad selepas tentera persekutuan menyingkirkan pemisah dalam perang kedua di Chechnya, Kremlin berusaha menyekat pemberontakan di seluruh Kaukasus Utara, wilayah yang dituntut pemberontak menjadi sebuah negara Islam bebas.
Kaukasus Utara merupakan bahagian utara Rusia yang dihuni 50 juta penganut Islam. Pakar berkata, pemberontak sengaja mencetuskan pemberontakan menjelang pilihan raya Presiden 2012.
Umarov, 46, menerusi satu video berasingan turut menyeru masyarakat Islam Mesir, Tunisia dan negara-negara Arab 'mencetuskan revolusi dengan mengukuhkan perkataan Islam dan hukum Allah'.
Perdana Menteri Vladimir Putin dan Presiden Dmitry Medvedev menyatakan kebimbangan berhubung kenyataan Umarov itu dan memberi amaran fahaman Islam radikal kini sedang merebak berpunca daripada pergolakan di negara Arab dan ia boleh mencetuskan lebih banyak kekacauan di Kaukasus Utara.
Pemimpin pemisah itu yang menganggap dirinya sebagai pemerintah Kaukasus dipercayai bersembunyi di kawasan hutan di pergunungan Kaukasus Utara. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment