Friday, August 12, 2011

7,000 pelabur lega

IPOH: Hampir 7,000 pelabur skim emas seluruh negara yang mendakwa ditipu lega apabila syarikat pelaburan Bestino Golden House Sdn Bhd berjanji memulangkan wang pelaburan sebanyak RM411.19 juta.
Kebanyakan mangsa yang mula melabur sejak 2006 hingga 2009 mendakwa pernah dijanjikan pulangan keuntungan tiga peratus sebulan atau lebih 30 peratus setahun.

Akibatnya, ramai yang teruja hingga sanggup melabur ratusan ribu ringgit sebelum syarikat terbabit tiba-tiba ‘lumpuh’ selepas dikenakan tindakan Bank Negara kerana didakwa menjalankan aktiviti penggubahan wang haram.

Susulan itu, empat pengarah syarikat itu menghadapi 322 tuduhan pengubahan wang haram RM156.2 juta dan lima tuduhan menerima deposit awam tanpa lesen.

Pengarah syarikat berkenaan, Chong Yuk Ming berkata, dia tidak pernah berniat menipu sesiapa berikutan apa yang berlaku disebabkan tindakan undang-undang dikenakan mahkamah.

Beliau berkata, syarikat pelaburan itu bukanlah syarikat ‘tipu dan hilang’ seperti yang kerap dilaporkan media sebelum ini.


Menurutnya, pihak syarikat berjanji membayar balik pelaburan skim emas dibuat 6,740 pelaburnya membabitkan wang keseluruhan berjumlah RM411.19 juta.

“Pihak syarikat akan mengembalikan semula wang pelabur secara ansuran dengan bayaran permulaan membabitkan 25 peratus daripada jumlah pelaburan asal masing-masing.
“Kami berjanji membayar setiap ringgit pelaburan dibuat dan berharap setiap pelabur bersabar sementara menunggu keseluruhan wang itu dikembalikan semula. Ia akan dilakukan menerusi pihak pentadbir yang dipersetujui oleh Bank Negara,” katanya pada sidang media di rumahnya, semalam.

Menurutnya, pihak syarikat tidak akan membayar sebarang dividen kerana tidak mempunyai kapasiti berbuat demikian.

Pada 23 Februari lalu, empat pengarah syarikat Bestino Golden House Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas 322 tuduhan pengubahan wang haram bernilai RM156.2 juta dan lima tuduhan menerima deposit orang awam tanpa lesen dalam tempoh dua tahun syarikat itu beroperasi.

Yuk Ming, 49, bersama Ho Chee Cheong, 41; Goon Koon Lee, 48 dan Chang Kuei Geh, 57, mengaku tidak bersalah di atas semua tuduhan itu yang didakwa dilakukan antara tempoh 9 Julai 2006 hingga 21 September 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 41 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) iaitu menerima, mengguna serta memindahkan wang haram berkenaan menerusi skim pelaburan emas yang dilakukan di seluruh negara dan luar negara dalam tempoh terbabit dan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Ditanya bagaimana pembayaran dibuat ekoran akaun syarikat dibeku Bank Negara, Yuk Ming berkata kakitangan syarikat itu di luar negara berusaha mendapatkan wang termasuk mencairkan aset syarikat di luar negara.

Dia turut merayu pelabur tidak menyalahkan ejen jualan dan pelaburan dilantik syarikat itu kerana mereka tidak bertanggungjawab dalam menguruskan wang pelaburan pelanggan.

Yuk Ming mendakwa, sepanjang syarikat itu beroperasi sebelum ini, mereka mampu membayar dividen tiga peratus sebulan bagi setiap pelaburan dan pernah membayar dividen sehingga 18 peratus bagi setiap enam bulan.

Dakwanya, beberapa bulan sebelum syarikat itu mula disiasat pada Jun 2009, syarikat itu memulakan aktiviti melombong emas di dua lombong yang terdapat di Papua New Guinea tetapi dihentikan tidak lama kemudian selepas Bank Negara membekukan akaun syarikat terbabit.-hmetro

No comments:

Post a Comment