KEMAMAN – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan Pas kini tertekan sehingga membangkitkan isu pengundi warga asing di negeri ini sedangkan pengundi warga Myanmar yang dimaksudkan sebenarnya asal dari Malaysia yang menjadi pelarian ketika zaman British puluhan tahun lalu.
Beliau berkata, isu itu bukan baru tetapi Pas sengaja menimbulkan perkara tersebut kerana terdesak (untuk meraih sokongan) apabila mereka menukar perjuangan daripada mahu mewujudkan negara Islam kepada negara berkebajikan.
“Kebajikan apa yang mereka mahu buat? Semua kebajikan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah lakukan jadi sekarang mereka sengaja cari salah orang lain (Kerajaan Umno dan BN) kononnya undi tidak bersih dan pengundi bukan warganegaralah.
“Sebenarnya mereka (pengundi yang didakwa warga asing) sudah berada di negeri ini lebih 20 tahun, malah sebelum saya menjadi wakil rakyat lagi mereka sudah mengundi.
“Memang kita ada beri kerakyatan kepada orang Rohingya, Kemboja, Myanmar menjadi pelarian yang asalnya orang Malaysia dikerah membuat jambatan maut waktu zaman British dan pendudukan Jepun di negara ini dulu. Mereka ini semua kita bawa balik dan beri kerakyatan, memang kebanyakan mereka dari Kedah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian dana raya kepada penduduk di Seri Bandi, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian menyangkal pendedahan Pas Terengganu yang mengesan ribuan warga asing memiliki kad pengenalan mendaftar sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri ini yang disiarkan Sinar Harian semalam.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Abdul Wahid Endut berkata, seramai 5,006 bangsa asing kebanyakannya keturunan Myanmar didapati tersenarai sebagai pengundi iaitu 1,239 di Dun Kijal dan 529 di Air Putih termasuk 43 daripadanya dikesan tiada rekod dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sebaliknya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu menegaskan pada hakikatnya yang menipu rakyat adalah Pas.
Ahmad berkata, buktinya pada 1995 Pas membawa masuk seramai 979 pengundi dari kawasan lain (termasuk dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemasik) ke Dun Kijal sementara berdasarkan semakan terdapat kira-kira 1,200 pemilih di Rusila, Marang adalah pengundi luar iaitu dari Johor, Selangor dan Pahang.
“Saya ada bukti Pas membawa masuk pengundi luar di Dun Kijal pada 1995 kerana waktu itu saya jadi penolong pegawai daerah dan saya jaga pemilih, jadi Pas jangan nak kelirukan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad mempersoalkan mengapa perkara berkenaan (pengundi bangsa asing) tidak dibangkitkan pada pilihan raya umum terdahulu seolah-olah pembangkang ketandusan isu.
“Kalau undi tidak adil bagaimana Pas dapat menang dalam pilihan raya umum pada 1999 di Terengganu, di Kelantan pembangkang berjaya kekalkan kemenangan hingga 20 tahun selain menang di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pada pilihan raya umum lalu,” katanya.-SH
No comments:
Post a Comment