KATHAVARAYAN (dua dari kiri) bersama Tilaiyalagan dibawa keluar selepas perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. |
Peguam pembela dakwa arahan cabar kebolehpercayaan saksi dilanggar
SHAH ALAM: Peguam pembela dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, mahu pasukan pendakwaan dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mendakwa saksi pendakwaan ke-29, U Suresh atas tuduhan memberi keterangan bercanggah di mahkamah.
Tidak sepatutnya mana-mana pihak mengambil tindakan mengganggu Suresh, tetapi semalam (kelmarin) pendakwaan, termasuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Idham Abd Ghani dan seorang TPR lain mendakwa Suresh di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu. - Peguam Manjeet Singh Dhillon, Peguam pembela
“Tidak sepatutnya mana-mana pihak mengambil tindakan mengganggu Suresh, tetapi semalam (kelmarin) pendakwaan, termasuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Idham Abd Ghani dan seorang TPR lain mendakwa Suresh di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu,” katanya sebelum prosiding bicara dalam bicara (TWT) kedua bermula, semalam.Manjeet mempersoalkan sama ada tindakan itu satu cubaan secara langsung atau tidak langsung agar Suresh memberi keterangan mengikut kehendak pendakwaan.
Sehubungan itu, katanya, pembelaan mahu supaya pendakwaan dikenakan tindakan menghina mahkamah.
TPR Saiful Edris Zainuddin memberitahu mahkamah beliau berada dalam prosiding itu tetapi tidak mewakili pendakwaan.
“Suresh adalah saksi kami dan dia melakukan 22 percanggahan dalam keterangannya sebelum ini. Keputusan sama ada untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu bukan syarat untuk mendakwa Suresh,” katanya.
Hakim Akhtar Tahir berkata, persoalannya bukan sama ada pendakwaan boleh mendakwa Suresh atau tidak, tetapi sama ada ia masa sesuai untuk berbuat demikian.
Beliau kemudian mengarahkan TPR berhujah berserta dengan autoriti dan nas undang-undang mengenai perkara itu, Isnin ini.
Suresh, 27, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin, atas tuduhan memberikan keterangan palsu dalam perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini, pada 25 dan 27 Julai lalu. Dia mengaku tidak bersalah.
Suresh kini menjalani hukuman penjara 20 tahun bersama bekas pekerja ladang, K Sarawanan, 20, selepas mengaku salah membakar dan membuang abu Sosilawati dan tiga rakannya ke Sungai Panchau, Jalan Pantai Morib di Banting.
Sementara itu, apabila perbicaraan bersambung, mahkamah diberitahu dua daripada empat tertuduh mengadu mengalami kesakitan di beberapa bahagian tubuh badan akibat dipukul polis ketika dalam tahanan reman.
Pegawai Perubatan, Dr P Paramanathan, 67, berkata beliau menemui semua empat tertuduh iaitu bekas peguam, N Pathmanbhan, 40, dan tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, 20; K Matan, 21; dan R Khatavarayan, 31; di kliniknya di Penjara Sungai Buloh pada 14 Oktober 2010.
Katanya, Thilaiyalagan (tertuduh kedua) mengadu sakit dan cedera di bahagian atas pinggul berdekatan buah pinggang dan tapak kaki kiri, manakala Khatavarayan (tertuduh keempat) mengadu mengalami kencing berdarah akibat ditendang dan ditumbuk di belakang badan.
Dalam pada itu, Thilaiyalagan ketika dikemukakan sekeping gambar oleh Gurbachan, mengakui itu gambarnya dan mendakwa ada orang menyuruhnya tunjukkan ke arah sungai, selain ketika itu kepala dan tengkuknya dipegang polis.
Disoal balas TPR Saiful Edris Zainuddin, Thilaiyalagan menafikan polis memegang kepalanya atas permintaannya sendiri kerana tidak mahu gambarnya disiarkan dalam akhbar.
Thilaiyagan turut menafikan perbuatan polis itu adalah bagi keselamatan dirinya.
Khatavarayan pula ketika dibawa ke ladang di Banting, September tahun lalu, matanya diikat sepanjang perjalanan dan ditendang polis ketika berada di ladang berkenaan.
“Ketika dalam perjalanan pulang dari ladang itu ke IPD Gombak pada jam 2 atau 3 pagi, rambut panjang saya yang melepasi bahu turut dipotong polis.
“Ketika dibawa semula ke ladang itu pada 12 September, saya dipukul seorang pegawai polis ketika sedang duduk di depan rumahnya di ladang berkenaan.
“Saya dan Thilaiyalagan kemudian dibawa keluar dari ladang oleh pegawai yang mengiringi Thilaiyalagan, bersama Govindan ke satu kawasan di sebelah sekolah Tamil dan Govindan mengarahkan saya menunjukkan ke arah sebatang sungai,” katanya.
Turut memberikan keterangan semalam, peguam bela Ravi Nekoo, jurufoto akhbar Utusan Malaysia, Saharuddin Abdullah, 38; peguam, AS Dhaliwal, yang mewakili Suresh dan Sarawanan serta Ketua Polis Balai Selayang, Cif Inspektor Nordin Misban, 46.
Perbicaraan bersambung 15 Ogos ini. -bharian
No comments:
Post a Comment