Timbalan Penyelaras Bantuan Kemanusiaan PBB, Catherine Bragg berkata, berdasarkan maklumat Unit Analisis Nutrisi dan Keselamatan Makanan, kejadian itu juga merupakan krisis keselamatan makanan Afrika terburuk sejak krisis kebuluran Somalia pada 1991 dan 1992.
''Krisis terbaru ini masih belum sampai ke kemuncaknya,'' ujarnya.
Badan dunia itu merayu masyarakat antarabangsa menyumbang kira-kira AS$1.3 bilion (RM3.9 bilion) bagi membantu menangani krisis kebuluran di Afrika Timur.
Bragg berkata, seluruh wilayah di selatan Somalia dijangka menghadapi krisis kebuluran dalam tempoh antara empat hingga enam minggu lagi jika bantuan tidak disalurkan.
''Kami percaya berpuluh ribu orang telah mati. Beratus ribu orang lagi pula sedang kebuluran dan menghadapi kemungkinan akan mati. Kita perlu bertindak sebelum kejadian ini bertambah buruk,'' katanya.
Menurut PBB, pihaknya telah menerima bantuan berjumlah AS$1.1 bilion (RM3.3 bilion) iaitu hanya 46 peratus daripada AS$2.4 bilion yang diperlukan, daripada negara-negara penyumbang.
Rayuan Bragg itu dikeluarkan ketika pegawai agensi makanan PBB memberi amaran jumlah mereka yang melarikan diri dari wilayah dilanda kemarau tersebut meningkat mendadak dan menyebabkan bantuan antarabangsa tidak mencukupi.
Wakil Pertubuhan Makanan dan Pertanian di Kenya, Luca Alinovi memberi amaran situasi akan bertambah teruk pada minggu-minggu akan datang jika rakyat Somalia terus keluar dari wilayah yang mengalami krisis kebuluran bagi mencari makanan, kebanyakan wilayah itu dikawal oleh kumpulan pengganas, al-Shabab.
PBB menjangka lebih 11 juta orang di Afrika Timur akan memerlukan bantuan makanan ekoran kemarau, selain keadaan diburukkan oleh tindakan al-Shabab yang tidak membenarkan pertubuhan kemanusiaan menghantar bantuan ke kawasan di bawah kawalannya. - Agensi, utusan
No comments:
Post a Comment