Friday, August 12, 2011

Kes saman: GLC, Tajudin cari penyelesaian luar mahkamah



KUALA LUMPUR 11 Ogos – Kes-kes saman sivil membabitkan syarikat- syarikat milik kerajaan (GLC) dan Kerajaan Malaysia terhadap bekas Pengerusi Eksekutif Malaysian Airline System Bhd., (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli kini dalam peringkat rundingan untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah.
Dengan perkembangan tersebut, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes berhubung isu penyelesaian tersebut.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Pengurusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Dagang) Kuala Lumpur, Tan Sri Md. Raus Sharif, yang juga merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan ketika kes itu disebut di kamar beliau hari ini.
Sekiranya tiada persetujuan dicapai, kes-kes saman yang membabitkan tuntutan berbilion ringgit itu akan diteruskan dengan perbicaraan.
Secara keseluruhan terdapat lebih daripada 10 kes saman di pelbagai peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Rayuan membabitkan GLC seperti MAS, Telekom Malaysia Bhd., Naluri Corporation Bhd., Celcom (M) Bhd., Pengurusan Danaharta Bhd. dan Atlan Holdings Bhd.
Tajudin turut mengemukakan saman balas ke atas 24 defendan termasuk GLC terbabit bagi menuntut ganti rugi RM13.46 bilion.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika dihubungi mengesahkan ada mengeluarkan sepucuk surat cadangan bagi penyelesaian luar mahkamah kepada GLC terbabit sebagaimana yang dilaporkan dalam satu portal berita.
Ujar beliau, cadangan penyelesaian itu bukanlah satu perkara yang ‘tiba-tiba’ sebaliknya telah difikirkan oleh kerajaan sejak enam bulan lalu.
Ia dibuat selepas pihak kerajaan memikirkan kes itu akan mengambil masa terlalu lama dan tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa sekiranya perkara itu berlaku.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bagi GLC seperti MAS dan Telekom, entiti tersebut boleh meneruskan kes itu sekiranya ‘tidak sudi’ terhadap jalan penyelesaian kerana itu adalah hak syarikat terbabit.-utusan

No comments:

Post a Comment