PADANG DAS – Pendapatan sebagai penoreh getah yang tidak seberapa menyukarkan kehidupan seorang ibu tunggal untuk menyara lima anaknya selepas ketiadaan suami beberapa tahun yang lalu.
Sabariah Mat Hassan, 65, berkata, dia bersama anaknya kini menetap di sebuah rumah yang agak uzur hasil peninggalan suaminya.
Menurutnya, rumah yang hanya mempunyai satu bilik itui tidak selesa untuk didiami namun pasrah dengan takdir yang melanda keluarganya.
“Dengan pendapatan sebagai penoreh getah yang tidak menentu menyebabkan hidup kami sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Ada juga anak yang sudah berkahwin juga menumpang di rumah ini dan menjadikan beban perbelanjaan juga bertambah,” katanya.
Sabariah berkata, kenaikan harga barangan masa kini menyebabkan hidupnya semakin bertambah sukar.
Katanya, keadaan ini memberikan kesan kepada golongan yang kurang berkemampuan sepertinya.
“Makcik memohon perhatian serta bantuan pihak berkenaan untuk membantu meringankan beban keluarga kami.
“Sekiranya keluarga kami dibantu sekurang-kurangnya dapatlah kami menjalani kehidupan yang sama seperti insan lain,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa ibu tunggal berkenaan.
“Kami telah memanjangkan masalah berkenaan kepada Ketua Kampung Padang Das, Musa Ibrahim untuk diambil tindakan selanjutnya.
“Kita juga mengharapkan agar pihak yang berkenaan dapat tampil untuk melihat dan membantu keluarga Sabariah,” katanya ketika ditemui semasa menyampaikan sumbangan Yayasan Bina Upaya (YBU) kelmarin.
-SH
No comments:
Post a Comment