Monday, August 1, 2011

Berpurdah untuk menjaga kehormatan




PENDAKWAH kulit putih terkenal, Yusuf Islam dan isterinya, Fowzia Mubarak (kanan sekali) bersama anak dan cucu begitu banyak memberikan sumbangan kepada Islam untuk terus bertapak di United Kingdom.


PARA PENONTON yang mengikuti siaran langsung saluran Channel 4 yang popular di England, begitu terkejut dengan penampilan seorang wanita berpurdah di kaca televisyen pada sambutan Hari Krismas tahun lalu.
Ia berlaku sejurus Ratu Elizabeth II menyampaikan ucapan sempena Hari Krismas. Tidak berselang lama selepas itu, wanita yang hanya menampakkan sepasang mata ini, muncul.
Tujuannya untuk memberi wanita itu peluang menyampaikan pesanan melalui apa yang dipanggil sebagaiPesanan Alternatif Krismas. Iaitu pesanan yang cukup berbeza berbanding ucapan oleh baginda Ratu England.
Kemunculannya menyebabkan penonton terpaku. Masing-masing tertanya-tanya, wajah siapakah di sebalik purdah itu. Yang pasti wanita itu sudah tentu seorang Islam.
Daripada suaranya para penonton dapat mengenal pasti bahawa wanita tersebut adalah rakyat British atau dengan lain perkataan dia adalah wanita berkulit putih seperti sebahagian besar penonton itu yang sedang menonton program itu.
Ini kerana loghat Inggerisnya agak pekat dan asli sebagaimana warga England yang lain juga.
Penampilannya dalam program yang dihos oleh Jack Straw itu dikatakan sebagai peluang yang diberi oleh saluran televisyen itu bagi memperbetulkan banyak salah tanggapan mengenai Islam, terutamanya apabila wanita Islam memilih untuk berpurdah.
Lalu wanita yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Khadijah itu terus mengambil peluang itu dengan mengkritik mereka yang berpandangan salah mengenai purdah termasuk ada yang menyebutnya sebagai jilbab, burqa dan niqab.
"Purdah ini sebenarnya perisai bagi kaum wanita. Tidak sekadar soal identiti tetapi lebih kepada soal perlindungan daripada segala macam ancaman dan menghalang si pemakai itu mendekati perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri mereka sendiri," ujar Khadijah.
Beliau menguatkan lagi hujahnya bersandarkan dalil al-Quran yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…. (an-Nur: 31)
Sehingga ke akhir rancangan, para penonton ditinggalkan dalam keadaan penuh tanda tanya, siapa gerangan di sebalik purdah itu.
Sehinggalah akhbar Daily Mail akhirnya berjaya menemui dan membuat pendedahan mengenai, siapa Khadijah.
Wanita yang patuh berpurdah itu adalah Elaine Atkinson, 43, iaitu seorang warga Britain sebelum menukarkannya kepada Khadijah Iqbal selepas memeluk Islam pada tahun 1996.
Beliau setuju muncul di kaca televisyen apabila pihak stesen menghormati permintaannya untuk muncul dengan identitinya yang berpurdah.
"Itu sudah cukup bagi membolehkan para penonton fokus pada kata-kata saya, bukannya keperibadian saya," kata Khadijah.
Sejurus beliau berpurdah maka Khadijah mengaku ramai yang menuduhnya masuk ke dalam kelompok Islam radikal.
Namun beliau menafikan, kerana purdah tidak bermakna menjadi lambang sesuatu yang radikal. Beliau sendiri seorang yang berfikiran sederhana dalam serba serbi.
"Saya memilih berpurdah dengan penuh kesedaran. Ia semata-mata untuk melindungi diri kerana dengan wajah yang separa bertutup ini ia sebenarnya satu lambang kebebasan kepada seseorang wanita itu untuk mempertahankan haknya yang paling utama, soal keselamatan," jelasnya.
Menurut Khadijah, Islam membuatkannya mempunyai panduan yang jelas untuk diikuti dan dipatuhi dalam hidup.
"Tidak sahaja dalam soal jaminan keselamatan dengan menutup aurat, bahkan dalam apa juga aspek.
"Selagi tidak memeluk Islam, seseorang itu tidak ubahnya seperti tikus atau hamster yang hanya tahu berputar-putar pada roda mainan yang diletakkan dalam sangkar mereka, tanpa arah tujuan," katanya.
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment