Monday, August 1, 2011

Tukar agama: Shamala tarik balik rayuan



PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini membatalkan rayuan bekas kerani bank S.Shamala yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan dua anak lelakinya dengan suaminya yang telah memeluk agama Islam.

Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin, bersidang bersama-sama panel tiga anggota dengan Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, membuat keputusan itu selepas Shamala menarik balik rayuan itu.

Walaupun suami Shamala, Dr Muhammad Ridzwan, 43, memohon Shamala membayar RM15,000 bagi kos undang-undang, panel itu selepas menimbangkan pandangan kedua-dua pihak dalam rayuan itu, memutuskan untuk tidak mengeluarkan perintah mengenai kos.

Shamala, 39, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi satu deklarasi untuk membatalkan penukaran agama kedua-dua anak lelakinya kepada Islam oleh suaminya yang telah berpisah dengannya.

Shamala, yang dipercayai berada di luar negara, juga menarik balik rayuan balasnya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kepadanya dan Dr Muhammad Ridzwan yang dahulunya dikenali sebagai Dr Jeyaganesh C. Mogarajah, hak penjagaan bersama kedua-dua anak mereka, Saktiwaran dan Theiviswaran, tetapi mengenakan kaveat ke atas Shamala, melarangnya mengajar anak-anaknya amalan agama Hindu dan memberi mereka makan babi. - Bernama

No comments:

Post a Comment