Monday, August 1, 2011

Najib Terperangkap Soalan Mahasiswa


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terperangkap dengan soalan yang dikemukakan mahasiswa ketika menghadiri Persidangan Tahunan Pemimpin Pelajar Malaysia ke-5 di Kuala Lumpur, semalam.
Tindakan Najib  mengelak dari menjawab persoalan ‘Melayu dahulu, Malaysia kemudian’ oleh mahasiswa yang hadir persidangan itu, menunjukkan beliau tidak mempunyai gagasan pemikiran yang jelas, kata Pengarah Biro Mahasiswa, Angkatan Muda KEADILAN,Saifullah Zulkifli.
Saifullah berkata, Najib cuba mengelak dari menjawab soalan itu dengan alasan tidak mahu ia dikaitkan dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedangkan rakyat pada umumnya tahu hubungan yang renggang antara mereka.
“Najib cuba ‘playsafe’ tentang soal ‘Melayu dahulu, Malaysia kedua’. Sepatutnya Najib wajib menjawab persoalan yang dilontarkan. Anak muda mahu tahu pandangannya tentang itu,”
“Dalam masa yang sama, Najib cuba menunjukkan kononnya tiada konflik yang ketara di antara mereka. Sedangkan semua orang tahu tentang itu. Pemimpin Umno sekarang berusaha untuk menaikkan Muhyiddin,” kata Saifullah.
Dalam pada itu katanya, Najib juga terperangkap dengan soalan mahasiswa apabila ditanya mengenai perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), 9 Julai lalu.
Saifullah berkata, jawapan Najib bahawa beliau menawarkan Stadium Shah Alam dan bukan Stadium Merdeka kepada gabungan itu,  menunjukkan  sikapnya yang diumpamakan seperti ‘lidah bercabang’.
“Dia sendiri yang menyatakan – jika mahu berhimpun pergi ke stadium. Ini diucapkan oleh Najib sendiri semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri  (JPM) 4 Julai lalu.
“Sedangkan, dia tidak kata mana-mana stadium secara spesiifik. Mungkin benar kata orang-orang Umno. Sikap seperti ini yang menyebabkan mereka mahu cepat-cepat menurunkan Najib,” kata Saifullah.

No comments:

Post a Comment