Sunday, May 27, 2012

Melayu

Istilah Melayu mempunyai maksud yang dalam dan luas. Sebahagian pengkaji menegaskan, pada istilah Melayu terdapat dua pengertian, iaitu “Melayu” dan “kemelayuan”. 
“Melayu” dimaksudkan sebagai satu rumpun bangsa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu, sementara “kemelayuan” mengandungi erti “nilai anutan” dan “jati diri Melayu” 
(Tenas Effendy).

Keberadaan Islam di rantau Alam Melayu yang terdiri dari daratan dan kepulauan yang banyak jumlahnya telah berjaya membina satu imej baru kepada masyarakat rantau Melayu. 
Alam Melayu berjaya menampilkan sebuah tamadun yang gemilang terutama setelah kedatangan Islam ke rantau ini. 
Umat Melayu berjaya membina kecemerlangan dan kegemilangan dalam pelbagai bidang yang dimulai dengan keagungan pemerintahan, pelaksanaan undang-undang, kesungguhan pendidikan, kerancakan ekonomi dan kemurnian budaya serta sosial. 
Kejayaan ini berjaya dibina oleh generasi awal berasaskan fahaman Agama Islam yang Berteras Tauhid. 

Walaupun kejayaan yang dibina berdasarkan pencapaian dan kepintaran zaman tersebut yang banyak bergantung kepada bahan alam yang tidak terlalu kompleks teknologi penciptaannya, masyarakat Melayu tetap bergerak aktif dan mampu berinteraksi dan bersaing dengan bangsa Asia lain seperti bangsa Cina dan India. 
Umat Melayu mampu membina satu jati diri bangsa yang disegani dan menjadi contoh teladan.

Kehadiran Islam di Alam Melayu telah membawa perubahan besar ke atas nilai dan budaya orang Melayu. 
Peralihan gaya berfikir, corak sosial, dan interaksi muamalat di kalangan orang Melayu dan masyarakat sekitar telah diungguli oleh nilai tradisi Islam, sehingga unsur-unsur Hindu-Buddha hampir terhakis dalam gaya hidup dan corak pemikiran masyarakat Melayu. 
Meskipun demikian, Masyarakat Melayu tidak menolak sepenuhnya amalan dan nilai tradisi Hindu dan mereka tetap mengekalkan unsur-unsur yang tidak bertentangan dengan Ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment