Tuesday, June 5, 2012

Suri rumah rayu simpati orang ramai bantu anak jantung berlubang

Suri rumah rayu simpati orang ramai bantu anak jantung berlubang:


Mansor Abd. Rahman (dua dari kiri) memeriksa keadaan Adiruth Ai Khim sambil diperhatikan oleh Boon Som Inong (kiri) dan Kanya Anant di Sik, Kedah, semalam.
SIK 3 Jun - Seorang suri rumah, Kanya Anant, merayu simpati orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membolehkan bayi lelakinya, Adiruth Ai Khim, berusia lapan bulan menjalani pembedahan jantung berlubang yang dialaminya sejak lahir.
Kanya, 28, dari Kampung Kubang Kesom di sini berkata, dia terpaksa menagih simpati orang ramai untuk mencari sumber kewangan bagi merawat penyakit anak tunggalnya itu.
Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar kos pembedahan itu sehingga kini belum diketahui kerana masih menunggu maklumat lanjut daripada pakar perubatan.
Menurutnya, pada masa sama, anaknya itu perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.
"Menurut doktor, kos pembedahan anak saya dianggarkan melebihi RM40,000, tetapi jumlah sebenar masih belum diputuskan.
"Saya kini bimbang kerana keadaannya menjadi lemah dan disarankan pakar agar membuat pembedahan segera. Namun, saya tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu dan berharap orang ramai dapat menghulurkan bantuan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas dikunjungi Ahli Dewan Negara mewakili masyarakat Siam, Senator Datuk Boon Som Inong di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sik, Dr. Mansor Abd. Rahman.
Menurut Kanya, penyakit anaknya itu mula dikesan sejak dilahirkan setelah sering mengalami lelah dan denyutan jantung agak luar biasa.
Pada mulanya, katanya, dia tidak menyangka masalah kesihatan itu merupakan petanda awal Adiruth menghidap penyakit jantung berlubang sehinggalah anak lelakinya itu dibawa ke Hospital Sik sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
"Selain menjalani pemeriksaan bulanan di Hospital Sik, saya terpaksa berulang alik ke HSB dan Pulau Pinang," katanya.
Kanya memberitahu, pada masa ini, dia terpaksa menanggung kos rawatan anaknya itu dengan bergantung kepada suaminya, Ai Khim Ai Tim, 30, yang bekerja sebagai penoreh getah.
"Dengan pendapatan bersih seisi keluarga sekitar RM1,500 sebulan, kami khuatir tidak mampu menyediakan wang banyak untuk pembedahan kelak," katanya.
Sehubugan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berkunjung ke rumah Kanya di alamat Kampung Kubang Kesom (Chanhom), Mukim Sok, Sik, Kedah atau menghubunginya menerusi 012-9751019.
Sumbangan juga boleh dimasukkan terus ke dalam akaun Public Bank Berhad milik ibu saudara Kanya (Ethin Hem) yang bernombor 4-8497817-04.
Sementara itu, Boon Som berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan dan pihak berwajib lain untuk menghulurkan bantuan.
"Saya akan cuba mendapatkan peruntukan daripada kementerian berkenaan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga ini," ujarnya.
Mansor pula berkata, bayi tersebut disyorkan menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan komplikasi teruk.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment