Tuesday, July 3, 2012

Festival Sungai Melaka Sedunia 2013 dilancar


MOHD. Khalil Yaakob (kanan) dan Mohd. Ali Rustam diiringi Exco ketika hadir pada majlis penutup Pesta Sungai Melaka 2012 di Melaka, kelmarin.
MELAKA 1 Julai - Kejayaan Pesta Sungai Melaka 2012 menggamit kunjungan hampir sejuta pelancong ke negeri ini sepanjang bulan Jun lalu telah mendorong kerajaan negeri untuk menukar namanya kepada Festival Sungai Melaka Sedunia 2013.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, langkah itu akan membolehkan pesta tersebut disenaraikan pula dalam kalendar pelancongan dunia.
“Selari dengan sambutan yang diterima, festival itu akan diadakan antara 1 hingga 30 Jun tahun depan dan surat jemputan bakal diedarkan kepada pihak berkaitan pelancongan seluruh dunia agar ia boleh dimasukkan dalam aktiviti pelancongan mereka.
“Kita berharap festival akan datang tidak hanya tertumpu di Sungai Melaka sebaliknya diperluaskan ke seluruh negeri dengan setiap daerah perlu mempunyai aktiviti bersesuaian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Pesta Sungai Melaka 2012 dan Pelancaran Festival Sungai Melaka Sedunia 2013 di Kampung Morten yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob di sini semalam.
Lebih 2,000 orang yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan pelancong menghadiri majlis tersebut.
Majlis penutup itu diketuai oleh Mohd. Khalil yang lengkap berpakaian perang beserta tombak sekali gus menarik perhatian ramai apabila berjaya menghidupkan watak seorang pahlawan yang pulang dari medan perang.
Bermula dengan gegak gempita hulubalang menguar-uarkan kepulangan pahlawan dengan paluan gendang menyusuri Sungai Melaka, Mohd. Khalil, Mohd. Ali serta exco negeri disambut penuh istiadat oleh isteri Mohd. Khalil, Toh Puan Zurina Kassim yang hadir mengenakan busana Melayu lama.
Menurut Mohd. Ali, sejak enam tahun penganjuran pesta sungai oleh Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), majlis tersebut adalah yang paling gemilang dan meriah.
Katanya, sepanjang pesta itu Jun lalu, sebanyak 114 aktiviti diadakan dan antara yang berjaya menarik penyertaan negara luar termasuklah pertandingan perahu naga, bot kawalan jauh, seminar antarabangsa, kayak dan memancing.
Tambah Mohd. Ali, dalam tempoh 24 hari iaitu antara 1 hingga 24 Jun lalu, jumlah pelancong yang menaiki Melaka River Cruise adalah seramai 100,000 orang.

No comments:

Post a Comment