Tuesday, July 3, 2012

Fitnah paling dahsyat

RAJA Azmi dan Roslin pernah dituduh mempunyai hubungan intim sehingga dibawa ke mahkamah. bagaimanapun kes itu digugurkan.
SEKIAN lama membina bahtera, hampir ke-30 tahun angka, pada ketika anak-anak sudah dewasa, dikurnia pula dengan kehadiran cucu tempat bermanja, pada ketika itulah mereka terpaksa berpisah.
Dan lelaki yang selama ini menjadi tulang belakang untuk segala kekuatan dirinya juga hilang status sebagai pelindung dan pencinta buat dirinya.
Bercerai pada usia emas, tidak semua mampu melaluinya dengan tabah dan sabar. Atas apa sekalipun alasannya, perceraian bukanlah sesuatu yang perlu dibangga-banggakan.
Menurut produser Raja Azmi Raja Sulaiman, dia sendiri tidak pernah terfikir bahawa kalam jodohnya dengan insan budiman, Jalani Sidek akan berakhir pada ketika usianya menjengah ke angka 53 tahun.
"Atas apa sekalipun alasannya, untuk setiap perceraian pasti akan ada yang terluka. Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir akan bercerai dengan Jalani suatu hari nanti.
"Saya fikir saya akan jadi isteri dia sampai ke hujung nyawa kami. Tetapi beginilah takdir-Nya. Kita sebagai manusia tidak mampu membaca," katanya.
Sang jaguh badminton negara, Jalani Sidek menjatuhkan satu talak terhadap Raja Azmi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di hadapan hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin, pada Rabu lalu atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
Dalam perbualan kami sehari selepas dia secara rasmi bergelar 'janda', Raja Azmi kelihatan cuba menyembunyikan luka di hati. Sesekali perbualan diselami ketawa dan saya menjadi hairan, bagaimana dia boleh sekuat itu.
Menurut Raja Azmi, rumah tangganya tidak pernah sunyi daripada dilanda masalah. Kontroversi demi kontroversi menjadi jalanan berduri, menghadiahkan pelbagai rasa buat mereka berdua, pun selama ini mereka kuat menghadapinya.
Dilanda badai, difitnah kiri dan kanan, tangan mereka masih erat saling bertaut, memberi kekuatan antara satu sama lain.
Pun, ketika jodoh sudah bertemu titik noktah, segala yang selama ini dipertahan, runtuh menimpa bumi.
"Antara saya dan dia (Jalani) tidak pernah ada masalah serius. Bagaimanapun rumah tangga kami musnah kerana fitnah. Benarlah kata orang, betapa fitnah itu sebenarnya boleh membunuh dan saya sendiri melaluinya.
"Fitnah, apabila dibiarkan ia semakin merosak dan menyebarkan lebih banyak lagi masalah. Kita boleh 'terbunuh' gara-gara fitnah dan kami adalah salah satu antara mangsanya," katanya lagi.
Pun, fitnah yang paling dahsyat sudah tentunya datang daripada seorang wanita.
Menurut Raja Azmi, sepanjang 28 tahun pernikahan, tahun 2010 menjadi paling keruh apabila dia difitnah menjalin hubungan asmara dengan seorang lelaki.
"Fitnah yang dibuat oleh wanita itu paling saya tak boleh terima sampai ke hari ini. saya menerima kesannya sampai sekarang. Gara-gara fitnah itu, masyarakat terus meletakkan label tak baik kepada saya dan Jalani sampai ke hari ini. Orang siap kata "Sampai bila Jalani nak simpan Raja Azmi?"
"Sampai sebegitu sekali. Bayangkanlah dan bagaimana untuk saya terus hidup dalam perkahwinan ini kalau terus dilempar dengan kata-kata sebegitu?
"Jalani Sidek adalah wira pada mata masyarakat. Tetapi dia dianggap dayus, lelaki yang lemah gara-gara saya sebagai isteri. Jadi, untuk apa lagi saya ada di sisinya, kalau saya memberikan sekian banyak masalah kepada dia seperti yang dianggap masyarakat?" kata Raja Azmi lagi.
Apapun keadaannya, wanita berhati waja ini berdoa agar Jalani dipertemukan dengan wanita yang lebih baik di masa depan.
Seorang wanita yang mampu untuk sehidup dan semati dengan bekas suami. lebih penting dari itu, Jalani memerlukan seorang wanita yang mampu untuk mengembalikan semula maruahnya sebagai seorang lelaki.
"Masa itu saya akan lega. Orang tak akan kutuk dan kata Jalani sebagai lelaki dayus lagi.
"Saya juga berharap selepas perceraian ini, Jalani diangkat semula sebagai lelaki sejati, itu yang masyarakat hendak daripada dirinya," katanya penuh makna.

No comments:

Post a Comment