Tuesday, July 3, 2012

Terlantar selepas naik pangkat

terlantar
Maziah (kanan) bersama anak-anaknya melihat keadaan Mohd Isa yang terlantar.
BALING - Walaupun belum puas merasai jawatan baru, seorang lelaki terpaksa berhenti kerja selepas mengalami barah hidung sehingga memberi kesan kepada penglihatan dan membataskan pergerakannya.

Mohd Isa Razali, 34, berkata, beliau kini hanya mampu terlantar dan mengharapkan sokongan isterinya, Maziah Ngah, 33, membantu pergerakannya sejak setahun lalu.

Menurutnya yang berasal dari Kampung Banggol Berangan Labu Besar, masalah itu dihadapinya selepas dua bulan dinaikkan pangkat sebagai juruteknik di sebuah kilang di Pulau Pinang tahun lepas.

“Saya sempat bekerja dua bulan selepas dinaikkan pangkat, kemudian, saya terus sakit seterusnya terlantar sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Sementara itu, isterinya, Maziah Ngah yang bekerja kilang terpaksa mengambil cuti seminggu bagi menjaga suami yang memerlukan perhatian penuh daripadanya.

“Cuti saya tinggal beberapa hari lagi, kemudian, saya terpaksa kembali bekerja.

“Saya cuma harapkan anak-anak yang dapat menjaga ayah mereka,” katanya.

Hasil perkahwinan mereka, Maziah dikurniakan tiga orang anak yang masih kecil dan bersekolah berusia lima sehingga 13 tahun.

“Saya pernah terfikir ingin berhenti, tetapi saya perlu memikirkan kos perubatan dan bekalan ubat suami. Susunya sahaja mencecah RM 60 untuk satu tin.

“Kalau saya tidak bekerja, kehidupan saya akan lebih tersepit,” katanya.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya pelajaran anak-anak saya tidak terabai. Wang bantuan tersebut hanya digunakan untuk persekolahan mereka. Manakala pendapatan saya untuk kos rawatan suami.

“Setiap bulan suami perlu menerima susulan di Hospital Sultan Abdul Halim bergantung kepada saranan doktor.

“Kadang-kala suami perlu menerima rawatan tiga kali sebulan,” katanya.

Difahamkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah meluluskan bantuan Mohd Isa sejak Mac lalu, namun wang tersebut belum lagi disalurkan kepadanya sehingga kini.

“Sehubungan itu, saya berharap, wang bantuan dapat disalurkan secepat yang mungkin berikutan wang simpanan saya semakin berkurangan kerana menanggung kos rawatan suami.

“Sekurang-kurangnya ia akan membantu meringankan tanggunjawab saya sebagai seorang isteri dan ketua isi rumah,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment