PENDANG: Kehidupan sepasang suami isteri dihimpit kegelisahan apabila mengenang nasib dua anak mereka yang dikesan menghidap penyakit kanser darah dan berikutan itu, mereka merayu kepada orang ramai supaya dapat membantu bagi membiayai kos rawatan yang ditanggung.
Ini kerana rawatan untuk Nur Ain Sakinah Rosni, 9, dan adiknya, Muhammad Alif Irfan, 8, memerlukan kos yang tinggi sedangkan keluarganya tidak mempunyai kemampuan kewangan.
Rosni Shaari, 51, dari Kampung Lahar Tunjung, Mukim Rambai, dekat sini, berkata dia hanya memperoleh pendapatan sekitar RM700 sebagai buruh, sekali gus tidak mampu untuk membiayai rawatan dua anaknya itu.
Menurutnya, sejak Muhammad Alif didapati menghidap penyakit itu pada Mei 2011 dan kakaknya pula Mac lalu, dia dan isterinya, Faridah Abdul Rahman, 47, terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan Hospital Pulau Pinang bagi mendapat rawatan.
“Setiap minggu, kami terpaksa ke Hospital Pulau Pinang untuk melakukan kimoterapi bagi Nur Ain Sakinah, tetapi nasib baiklah perbelanjaan rawatan dapat dikurangkan dengan adanya surat daripada sekolah mereka.
“Bagi Muhammad Alif Irfan pula, kami kini sudah berhutang sebanyak RM2,500 kepada HKL kerana pihak hospital tidak menerima surat dari sekolahnya.
“Saya kini tidak mampu lagi untuk menghantar anak-anak untuk menerima rawatan di hospital kerana terpaksa membiayai dua lagi anak berusia 15 dan 14 yang masih bersekolah sedangkan pendapatan tidak seberapa,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.
Menurutnya, keluarganya kini turut bergantung kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan kepada Muhammad Alif Irfan sebanyak RM150 sebulan.
No comments:
Post a Comment