Abdullah Yusoff
Peserta Ladang Rakyat Dun Kelaboran dan Pengkalan Kubur berganding bahu membantu membaiki rumah kedai Abdullah.
KAMPUNG DALAM RHU – Rumah kedai yang dirempuh kereta Mercedes dipandu seorang lelaki yang terlelap Selasa lalu mula dibaiki secara gotong-royong, semalam.
Gotong-royong ini melibatkan peserta Ladang Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelaboran dan Pengkalan Kubur.
Bahan binaan seperti simen dan bata adalah sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim melalui pejabat Dun Kelaboran.
Pemilik rumah kedai itu, Abdullah Yusoff, 60, berkata, akibat rempuhan kereta terbabit, rumahnya tidak selamat untuk didiami kerana dinding konkrit rumahnya pecah.
“Alhamdulillah ada pihak membantu membaiki rumah ini secara gotong-royong, hanya ini sahaja rumah yang kami ada untuk berteduh,” katanya.
Rabu lalu dilaporkan, sebuah kereta Mercedes merempuh rumah kedai hingga meragut nyawa seorang kanak-kanak dan cederakan ibunya dalam kejadian di Kampung Dalam Rhu.
Akibat rempuhan itu, rumah itu hampir ranap. Mangsa yang terkorban, Adam Firdaus Syukri, merupakan cucu Abdullah.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa sedang bermain di ruang tamu sambil diperhatikan oleh ibunya, Nik Salwani Abdullah, 26, yang menemani anak sulung dan anak keduanya menyiapkan kerja sekolah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kerja gotong-royong itu hampir siap apabila dindingnya mula dibina baru.