Saturday, September 8, 2012

40 kali kes tertangguh



Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: “Tujuh tahun turun naik mahkamah dengan kes tertangguh sebanyak 40 kali tetapi sehingga kini tuntutan nafkah tertunggak saya tidak nampak jalan penyelesaian sehingga saya mengalami kemurungan teruk,” kata seorang wanita yang sehingga kini belum dapat menuntut haknya daripada bekas suami sejak bercerai pada 2005.

Norhayati Abdullah, 53, berkata dia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Ampang sejak tahun lalu dan disahkan doktor mengalami hiperthyrodisim, depresi dan kemurungan yang amat berat.


“Saya memeluk Islam pada 1979 dan mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 1997. Sepanjang lima tahun perkahwinan, saya bahagia, tetapi kemudian masalah mula timbul.

“Akhirnya saya diceraikan, dan ia menjadi permulaan kepada penderitaan emosi selepas kes tuntutan nafkah saya sering tertangguh disebabkan pelbagai alasan tidak munasabah daripada peguam bekas suami sehingga saya terpaksa mendapatkan rawatan psikiatrik,” katanya yang ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat, di pejabat SukaGuam, di sini, semalam.


Norhayati berkata, dia menggunakan semua saluran yang ada untuk membuat aduan termasuk menghantar surat kepada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor supaya melakukan sesuatu terhadap kesnya yang kerap tertangguh, namun belum menampakkan hasil.


“Di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, kes saya berkaitan nafkah tertunggak dan sekarang di peringkat soal balas saksi pertama defendan. Ia tertangguh selepas hakim berpindah ke tempat lain, namun sebelum itu pihak defendan kerap menangguhkan kes dengan pelbagai alasan.

“Di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pula kes saya sekarang di peringkat soal balas pihak defendan terhadap saya dan tarikh ditetapkan ialah pada 28 Disember ini,” katanya.


Menurutnya, isunya pihak peguam defendan kerap menggunakan alasan tidak munasabah melambat-lambatkan perjalanan kes umpamanya bekas suami berada di Perlis atau saksi defendan tiba-tiba perlu menghadiri mesyuarat penting.

“Saya sebatang kara, sejak memeluk Islam, keluarga asal menjauhkan diri. Saya juga tidak mempunyai kerja tetap dan hanya mengharapkan simpati beberapa rakan untuk meneruskan hidup. Rumah yang saya tinggal sekarang pada bila-bila masa saja dilelong bank kerana tunggakan pembayaran,” katanya.


Sementara itu, Khairul Anwar berkata, SukaGuam akan menulis surat kepada semua pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lengkap kes Norhayati.


“Kes Norhayati sudah 40 kali tertangguh dan boleh dikatakan satu rekod mencemaskan terhadap sistem keadilan.


“Kami tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi kita akan panjangkan kes ini kepada pihak berkaitan supaya jalan penyelesaian dapat dicari,” katanya.


Menurutnya, prinsip asas undang-undang ialah apabila kes dibawa ke mahkamah ia sewajarnya diselesaikan dengan segera.


“Ia untuk mengelakkan apa dikatakan keadilan tertangguh adalah keadilan dinafikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment