KUALA LUMPUR, 8 Sept 2012 : Warga Aman hari ini memberi amaran kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan terhadap mereka yang bertindak kencing gambar menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam masa 48 jam untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab, atau mereka akan turun ke jalan raya.
Pengerusinya, Raja Ratnam Arumugam berkata, polis seharusnya adil dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perkara sedemikian seperti yang dilakukan terhadap mereka yang menunjuk punggung kepada gambar perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Polis seharusnya bekerja untuk rakyat, bukan untuk Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Kerajaan boleh bertukar, tapi polis tidak boleh ditukar," katanya lagi.
Menurut Raja Ratnam, mereka tidak menyokong tindakan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar yang menunjukkan punggung dan memijak gambar perdana menteri, tetapi menuntut agar tindakan sama kepada mereka yang memijak gambar pemimpin pembangkang.
"Perdana menteri juga telah menggunakan bahasa kesat seperti haram jadah, apakah ini budi bahasa seorang pemimpin tertinggi negara?
"Mengapakah pihak polis tidak menangkap Najib sedangkan dia juga melaungkan kata-kata berunsur kesat?" kata Raja Ratnam lagi.
Sementara itu, Senator S. Ratmakrishnan berkata, mereka sudah turun ke Bukit Aman sebulan yang lalu untuk membuat aduan terhadap kes ini, tetapi tidak ada tindakan susulan dibuat.
"Polis dibayar gaji oleh rakyat, bukannya Umno dan BN.
"Jadi kami menuntut agar polis berlaku adil sebelum rakyat hilang kepercayaan dengan polis," kata Ratmakrishnan dalam sidang media hari ini.
Raja Ratnam mengetuai Warga Aman menghantar memorandum tersebut kepada ASP Mohd Fouzi Halim, yang mewakili Pusat Kawalan Malaysia (MCC) Bukit Aman.
Pihak polis baru-baru ini telah menubuhkan skuad khas untuk memburu mereka yang menunjuk punggung kepada gambar perdana menteri semasa himpunan Janji Demokrasi pada malam ambang merdeka yang lalu.
No comments:
Post a Comment