Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan diminta menyelesaikan kes tertangguh di Mahkamah Syariah yang kini mencecah 24,000 kes daripada terlalu sibuk membicarakan soal hukum hudud.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata berbanding negeri-negeri lain yang hanya sekitar 3,000 kes, Kelantan perlu mengutamakan usaha menyelesaikan segera kes tertangguh itu.
  
"Dalam soal ini kita menyusun, kebersamaan untuk kita mencapai(menyelesaikan) bicara mahkamah-mahkamah yang belum diselesaikan.
  
"Pada rata-rata mahkamah lain ada 3,000 kes yang terbengkalai. Di Perlis ada 500 kes dan tahun ini kita letak KPI untuk selesaikan kes tertunggak dalam tempoh tiga tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Ketereh di sini, hari ini.
  
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kok Lanas Datuk Mohd Alwi Che Ahmad.
  
Menyentuh mengenai kuota haji, Jamil Khir berkata sehingga kini kerajaan Arab Saudi belum memberi jawapan untuk membenarkan kuota tambahan kepada jemaah haji negara ini.
  
"Sampai sekarang pun kita belum lagi diberi jawapan untuk kuota tambahan itu. Kita ada kuota tambahan itu," katanya.
  
Sementara itu Jamil Khir berkata rakyat kini sudah memahami banyak perkara yang disiar dalam sesetengah media baharu sebenarnya banyak mengandungi unsur fitnah.
  
"Tidak seperti tahun 2008 dahulu, mereka menganggap media baharu ini adalah sumber utama tetapi kini mereka mengetahui sebahagian besarnya adalah fitnah," katanya. - Bernama