Muhammad Ammar (tengah) ditenangkan kedua ibu bapanya selepas ditemui di Batu Pahat, semalam. |
Batu Pahat: “Saya insaf dan menyesali perbuatan biadab yang menjadi kesilapan besar dalam hidup saya,” kata pelajar kolej yang menunjukkan punggung kepada gambar pemimpin negara pada malam ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka, 30 Ogos lalu.
Berikutan itu, Muhammad Ammar A Rahman, 19, memohon kemaafan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan seluruh rakyat Malaysia kerana keterlanjurannya.
“Saya insaf kerana sudah lakukan kesilapan besar dalam hidup. Ini adalah pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati.
“Saya memang ingin bertemu sendiri Perdana Menteri untuk menyatakan kekesalan dan permohonan maaf ikhlas saya...Mudah-mudahan Perdana Menteri sudi bertemu saya dan keluarga.
Tak berniat
“Saya tidak mempunyai sebarang niat tidak elok tetapi hanya mahu meraikan malam ambang kemerdekaan malam itu, namun saya tersilap langkah,” katanya di kediaman keluarganya di sini, lewat petang semalam.
Hadir sama, kedua-dua ibu bapanya, A Rahman, 53, dan Rahilla Ahmad, 53.
Nafi dibayar pihak tertentu
Muhammad Ammar turut menafikan spekulasi dia dibayar pihak tertentu untuk melakukan tindakan biadap itu.
“Ya! Saya lakukan perbuatan terkutuk itu tetapi tidak dibayar atau disuruh mana-mana pihak.
Ada yang kata saya adalah ahli pertubuhan termasuk kongsi gelap, itupun tidak benar.
“Malam itu saya bercadang pulang ke Batu Pahat, namun menangguhkannya kepada keesokan hari. Perkara ini pula terjadi. Saya tidak sedar apa yang saya lakukan malam itu, segalanya terlalu pantas,” katanya.
Ditanya sama ada beliau bersedia menerima akibat termasuk tindakan undang-undang atas perbuatannya itu, Muhammad Ammar berkata, beliau menerima segala kemungkinan.
“Saya reda...sudah suratan hidup saya begini...saya terima,” katanya sebak.
Jangan ganggu keluarga
Bagaimanapun, beliau meminta pengertian masyarakat untuk tidak terus menghukum, mengecam serta mengganggu keluarganya atas kesalahan yang dilakukannya.
“Saya mohon pada mereka yang mempunyai nombor telefon bimbit ayah supaya tidak mengganggunya lagi. Saya yang bersalah, jangan hukum dan ganggu keluarga saya.
“Kasihani kami. Bayangkan jika apa berlaku pada saya, terkena pada diri mereka atau keluarga mereka,” katanya.
Muhammad Ammar berkata, dia juga diberitahu rakan rapat di kolejnya, ada beberapa pihak yang tidak dikenali datang mencari dan bertanyakan mengenai dirinya.
“Rakan juga memaklumkan ada pihak yang tidak dikenali menanyakan di mana saya berada di laman sosial. Saya minta, berilah saya ruang dan peluang untuk muhasabah diri,” katanya.
dah lakukan bru nk menyesal
ReplyDelete