Saturday, September 8, 2012

PETRONAS catat untung suku kedua RM22.7b


pix_gal0Kuala Lumpur: PETRONAS mencatat untung sebelum cukai RM22.7 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2012 yang disandarkan kepada pendapatan RM70.7 bilion dalam keadaan persekitaran pasaran yang semakin mencabar.

Dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu, untung syarikat petroleum nasional itu naik 1.9 peratus kepada RM52.7 bilion daripada RM51.7 bilion yang dicatatkan sepanjang tempoh sama 2011.

Bagaimanapun, pada suku kedua untung sebelum cukai yang dicatatkan itu menunjukkan penyusutan 26.5 peratus disebabkan beberapa faktor yang tidak menyebelahi syarikat dalam tempoh itu.
PETRONAS berdepan beberapa keadaan mencabar dalam tempoh antara April hingga Jun lalu berikutan harga minyak yang rendah, masalah pengeluaran di Sudan Selatan serta peningkatan beban subsidi gas yang perlu ditanggungnya.

Lalui tempoh mencabar

Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, berkata kumpulan akan melalui tempoh yang mencabar sepanjang tempoh separuh kedua 2012, di samping berdepan kesukaran untuk melabur dalam perbelanjaan modal jika harga minyak jatuh di bawah AS$80 (RM248) setong.

Malah, beliau berkata PETRONAS berdepan kesukaran untuk menyamai prestasi kewangannya tahun lalu, apabila kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM90 bilion dalam tempoh sembilan bulan 2011.
“Kami sudah mengingatkan kerajaan supaya lebih berhati-hati kerana tidak banyak yang boleh kami lakukan (dalam persekitaran semasa). Pada suku ketiga ini, keadaannya akan menjadi lebih sukar,” katanya selepas melaporkan prestasi kewangan suku kedua PETRONAS, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Shamsul Azhar berkata, walaupun harga minyak semasa berada dalam lingkungan AS$114 (RM353) setong, paras itu dijangka tidak akan berkekalan memandangkan ia dipacu oleh spekulasi semata-mata berbanding asas sebenar.

Letak asas unjuran harga minyak pada RM270 setong

PETRONAS, katanya meletakkan asas unjuran harga minyak pada AS$87 (RM270) setong dan penurunan sehingga AS$80 setong akan menyukarkannya menampung rancangan perbelanjaan modal berjumlah RM300 bilion sehingga 2015 serta memenuhi keperluan bayaran dividen kepada kerajaan.

“Harga minyak semasa ialah berikutan ketegangan yang berlaku di Asia Barat. Kita semua tahu tidak mungkin Amerika Syarikat (AS) dan Eropah akan menikmati proses pemulihan yang bermakna jika harganya kekal di atas AS$100, justeru harga yang kekal di atas AS$100 itu ialah disebabkan perasaan bimbang,” katanya.

Shamsul Azhar berkata, PETRONAS juga berdepan penurunan pengeluaran daripada lapangan minyaknya yang sudah berusia di negara ini serta menjangka arah aliran itu akan kekal sehingga 2014.

No comments:

Post a Comment