Wednesday, September 26, 2012

Amaran AS kepada Iran

NEW YORK: Presiden Barack Obama semalam memberi amaran kepada Iran, Amerika Syarikat (AS) ‘akan lakukan apa yang perlu’ untuk menghalang Republik Islam itu memiliki senjata nuklear.

Berucap di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Obama berkata, Iran masih mempunyai masa untuk menuruti gesaan masyarakat antarabangsa bagi menghentikan program nuklearnya.
Bagaimanapun, katanya, masa itu semakin terhad.

Amaran itu dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan kebimbangan Israel mengenai cara AS mengekang impian Iran untuk memiliki senjata nuklear.


Ia juga dianggap sebagai jawapan kepada kritikan pencabarnya dalam pilihan Presiden AS, Mitt Romney yang menuduhnya gagal menangani Kebangkitan Arab, merosakkan hubungan dengan Israel dan tidak bertindak secukupnya ke atas Iran.


Obama memberitahu sidang berkenaan, beliau tidak akan memberi Iran peluang untuk memperoleh senjata itu dan seterusnya akan berusaha menangani isu program nuklear berkenaan.

“Ia bukanlah cabaran mudah sekiranya Iran mempunyai senjata nuklear. Ia akan mengancam kewujudan Israel, keselamatan di rantau Teluk dan kestabilan global,” katanya.

AS dan Israel yakin Iran berhasrat menghasilkan senjata atom menerusi program nuklearnya.

Dalam ucapannya itu, Obama turut merayu pemimpin dunia untuk bersatu bagi menghalang serangan seterusnya terhadap misi diplomatik negara itu. - AFP

No comments:

Post a Comment