Kamarudin menunjukkan MyKid anaknya, Rusmadi yang tidak layak menerima bantuan. |
Difahamkan, kira-kira 30 murid tidak terpilih menerima bantuan sebanyak RM450 setahun itu walaupun ibu bapa mendakwa anak mereka layak menerimanya.
Derma yang terpaksa berjalan kaki menghantar anak ke sekolah merayu supaya anaknya disenaraikan sebagai penerima bantuan. |
Penuhi syarat
Seorang penduduk Kampung Kerpal, Sima a/p Raya, 31, berkata, kedua anaknya tidak memperoleh bantuan itu walaupun mereka kerap hadir ke sekolah dan memenuhi syarat yang ditetapkan pihak Kementerian Pelajaran.
Menurutnya, mengikut syarat KWAPM, ibu bapa yang tersenarai dalam e-Kasih atau e-Damak layak menerima bantuan melainkan jika anak mereka tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut tanpa sebarang alasan.
“Dua anak saya tidak dapat bantuan itu sedangkan tahun lalu mereka dapat. Dengan duit itulah saya boleh beli pakaian dan kelengkapan sekolah mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Sima berkata, dia terpaksa menempuh perjalanan sejauh kira-kira 20 kilometer untuk menghantar anaknya, Tan Beng Wen, 10, dan Tweeni, 8, ke sekolah menaiki motosikal dan sudah tentu memerlukan banyak perbelanjaan.
"Sehari RM6 perlu dibelanjakan untuk isi minyak motosikal. Suami pula hanya kerja kampung dan pendapatannya pula tidak sampai RM500 sebulan. Saya harap Jakoa dapat membantu menyelesaikan masalah kami,” katanya.
Adiknya, Rasyidah Raya, 26, berkata, dia hampa kerana segala borang dan maklumat yang diperlukan sudah lengkap dihantar kepada pihak berkenaan, namun terkejut apabila nama anaknya tidak tersenarai.
Menurutnya, dia berhasrat membeli pakaian sekolah baru untuk anaknya, Norasyikin a/p Rosli, 8, sekiranya mereka memperoleh bantuan itu.
“Sudah lebih setahun anak saya guna baju lama. Saya memang bercadang nak beli baju dan kasut sekolah untuknya supaya dia bersemangat ke sekolah, tapi malangnya namanya tidak terpilih," katanya.
Hidup susah
Seorang ibu tunggal, Derma a/p Sugai, 33, berkata, setiap hari, dia tidak pernah jemu berjalan kaki sejauh 15 kilometer menghantar anaknya, Lee Chun Siang, 8, ke sekolah memandangkan tidak mempunyai kenderaan.
Bagaimanapun katanya, pilu hatinya apabila anaknya tidak tersenarai sebagai penerima bantuan, apatah lagi dia kini terpaksa menyara tiga anak yang masih kecil sendirian selepas bercerai dengan suami kira-kira setahun lalu.
“Dahulu saya dan bekas suami tinggal di Kampung Mikang dan anak-anak bersekolah di SK Kampung Aur, namun setelah berpisah saya pulang ke kampung dan tinggal bersama ibu bapa di Kampung Tanam,” katanya.
Menurutnya, akibat kesempitan hidup, seorang anak perempuannya tidak mahu ke sekolah kerana penat berulang-alik ke sekolah yang terletak jauh dari rumah.
“Saya sangat berharap kerajaan simpati dengan nasib saya sekeluarga. Saya hanya menoreh getah untuk menyara kehidupan. Jika ada bantuan itu, sedikit sebanyak dapat meringankan beban,” katanya.
Kamarudin a/l Pak Bayan, 37, berkata, tiga anaknya bersekolah, namun hanya dua yang menerima bantuan itu.
“Saya hanya dapat RM900, sedangkan saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.
"Sepatutnya saya layak menerima RM1,350 kerana setiap seorang murid Orang Asli layak mendapat RM450 setahun,” katanya.
Chak a/l Julang, 35, berkata, seorang daripada dua anaknya juga tidak tersenarai sebagai penerima, sedangkan pada tahun lalu, kedua mereka menerimanya.
Chak yang hanya bekerja mengambil upah menangkap burung berkata, dengan adanya bantuan itu, dapat menampung perbelanjaan mereka sekeluarga berikutan pendapatannya hanya RM400 sebulan.
“Kalau saya ada pendapatan lebih, mungkin saya tak kisah, tapi dengan pendapatan rendah seperti ini, ia sangat memberi tekanan kepada saya sekeluarga,” katanya.
Seorang lagi bapa, Azman Boh Suan, 48, berkata, hasrat kerajaan melihat anak-anak Orang Asli berjaya dalam pelajaran mungkin tidak menjadi kenyataan sekiranya keperluan pendidikan masyarakat itu tidak dipandang serius.
“Jakoa perlu menyemak semula senarai nama pelajar yang tidak menerima bantuan ini dan perlu kemukakan nama-nama mereka ini kepada pihak Kementerian Pelajaran supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang layak,” katanya.
Rujuk Jakoa daerah
Pengarah Jakoa Negeri, Isa Ab Hamid berkata, ibu bapa yang tidak menerima bantuan itu boleh berhubung terus dengan Jakoa Daerah Rompin di pejabat cawangannya di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kedaik untuk tindakan susulan.
Menurutnya, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan permohonan mereka tidak diluluskan. "Kemungkinan maklumat yang diisi ibu bapa tidak lengkap atau borang dihantar lewat,” katanya.
No comments:
Post a Comment