Wednesday, September 26, 2012

Pengiriman wang pulang ke India dijangka melepasi US$75 bilion


NEW DELHI - Penurunan mendadak nilai rupee sejak setahun lepas telah menyebabkan lonjakan pengiriman wang ke India oleh rakyat bukan residen negara itu (NRI) dan dijangka melepasi US$75 bilion (RM230 bilion) pada 2012-2013.

India menerima US$66 bilion (RM202 bilion) pada tahun kewangan 2011-2012 dari pengiriman wang oleh rakyatnya di seberang laut, yang menunjukkan lonjakan 19 peratus berbanding aliran masuk pada 2010-2011 sebanyak US$56 bilion (RM171 bilion) dan US$54 bilion (RM165 bilion) pada tahun fiskal 2009-2010.

“Walau pun rupee tidak merosot sebanyak 12 bulan lepas, pengiriman pulang wang dijangka kekal kukuh dan dijangka melepasi US$75 bilion pada 2012-2013,” demikian menurut satu kajian Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri India (ASSOCHAM).

Mata wang itu mencatatkan paras paling rendah Rs57.16 berbanding satu dolar US pada 22 Jun.

Penurunan nilai rupee sehingga kira-kira 25 peratus sejak setahun lepas, telah memberi kesan positif pada pengiriman pulang wang oleh NRI, yang memberikan kesan positif disebabkan kemelesetan teruk di dalam ekonomi Barat, kata kajian itu.

"NRI akan terus menghantar pulang dana kerana dolar yang lebih mahal memberikan pulangan lebih baik bagi mereka selepas ditukar kepada mata wang India dan satu lagi kecairan di pasaran Barat dijangka meningkat."

"Ini, sebaliknya akan turut mengalir ke India, juga melalui pengiriman pulang wang bersama-sama para pelabur institusi asing," katanya.

Presiden ASSOCHAM Rajkumar N Dhoot berkata pengiriman pulang wang yang aktif memberi sokongan terhadap masalah defisit akaun semasa India berikutan kebimbangan kerana kemerosotan eksport barangan niaga."

Defisit akaun semasa pada tahun fiskal 2012-2013 diunjurkan 3.6 peratus hingga 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK).

Menurut data Reserve Bank of India, Utara Amerika, Negara-negara Teluk dan Eropah adalah sumber utama pengiriman pulang wang dari rakyat India di seberang laut. - Bernama

No comments:

Post a Comment