Azmi menunjukkan bekalan air paip diterima di rumahnya di PAKR Pekan Ajil, pagi kelmarin. |
KUALA BERANG - Penduduk di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Pekan Ajil di sini tidak puas hati dengan kualiti air yang dibekalkan di kawasan itu kerana air akan bertukar kehitaman dan berkeladak pada waktu pagi hingga tengah hari.
Menurut seorang penduduk, Azmi Salleh, 50, setiap pagi dia terpaksa mandi air hitam yang berkeladak kerana tidak mempunyai pilihan lain.
"Keadaan ini sudah berlarutan selama dua bulan, kadang-kadang air yang keluar bukan sahaja berkeladak tetapi berwarna kehitaman sehingga boleh menyebabkan badan gatal-gatal.
"Selain berdepan dengan risiko penyakit kulit kami juga khuatir dengan makanan yang disediakan dengan menggunakan air yang tidak bersih ini yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan," katanya.
Kata Azmi, sebanyak 15 keluarga dari blok yang sama berhadapan dengan masalah ini setiap hari.
“Sejak 14 tahun saya tinggal di sini, ini kejadian pertama yang dialami.
"Keadaan ini hanya berlaku awal pagi hingga ke tengah hari sahaja dan akan kembali pulih seperti biasa selepas itu," katanya.
Lebih menyedihkan katanya, anak-anak terpaksa ke sekolah dalam keadaan tidak selesa kerana menggunakan air yang tidak bersih untuk mandi.
Disebabkan tidak sanggup menggunakan air kotor itu, Azmi kadang-kadang terpaksa mandi di surau berdekatan rumahnya.
"Kami terpaksa membasuh kain pada sebelah petang untuk mengelakkan kekotoran pada air melekat pada pakaian terutama pada kain yang berwarna putih.
"Keadaan ini menyukarkan isteri yang bekerja kerana hanya boleh membasuh pakaian setelah balik dari kerja," katanya.
Sehubungan itu kata Azmi, dia berharap pihak berkaitan dapat menyiasat punca penurunan kualiti air ini dan mengambil langkah segera untuk mengatasinya kerana biarpun air yang dibekalkan tidak berkualiti tetapi pengguna tetap perlu membayar bil bulanan.
"Saya sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkenaan tetapi keadaan masih tidak berubah,” katanya.
No comments:
Post a Comment