Tuesday, February 19, 2013

50 serangan bom di Pattani



Anggota skuad pemusnah bom Thailand memeriksa lokasi letupan bom disyaki dilakukan puak pemisah dekat Menara Jam di pekan Pattani, kelmarin. - AFP
BANGKOK 18 Feb. - Sebanyak 50 serangan bom terancang dan kejadian membakar bangunan dilaporkan di Pattani, semalam.
Akhbar Bangkok Post melaporkan kejadian turut melibatkan serangan bom di luar restoran di Pattani pada tengah hari semalam yang menyebabkan tiga sukarelawan pertahanan terbunuh dan berpuluh orang lagi cedera.
Pihak berkuasa berkata, kejadian tersebut merupakan sebahagian daripada serangan terancang oleh puak pemisah di daerah Muang dan Yaring di Pattani bermula pukul 6 petang semalam.
Pihak berkuasa percaya serangan puak pemisah itu bertujuan mencetuskan huru-hara dengan meletupkan bom di beberapa lokasi.
Polis berkata, dua bom yang setiap satu seberat 10 kilogram dan disembunyikan di dalam bekas pemadam api, ditempatkan di luar restoran tersebut, namun hanya sebutir yang meletup.
Sejam kemudian, sebutir bom lagi ditemui berdekatan sebuah pasar raya, yang rosak akibat terbakar, namun bom itu berjaya dimatikan.
Pasar raya tersebut rosak dalam kebakaran, 12 jam sebelum bom tersebut ditemui, dipercayai akibat letupan bom.
Sebutir lagi bahan letupan ditemui di sebuah kedai di Jalan Udom Vithi pada kira-kira pukul 6.40 petang kelmarin dan dijangka diletupkan pada tengah malam.
Bahan letupan seterusnya iaitu bom seberat 50 kilogram yang ditempatkan dalam sebuah motosikal turut berjaya ditemui dan dimatikan.
Polis berjaya mengumpul cap jari daripada bom tersebut dan sedang menjalankan siasatan.
Sementara itu, sebuah balai sukarelawan pertahanan, sebuah menara telefon dan kamera litar tertutup musnah dibakar dalam tiga serangan di Yarang pagi semalam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130219/lu_01/50-serangan-bom-di-Pattani#ixzz2LKLjG9PY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment