Tuesday, February 19, 2013

Keluarga malang


Lapan sekeluarga berdepan pelbagai dugaan berterusan apabila ketua keluarga terlantar akibat kemurungan sejak dua tahun lalu manakala isterinya pula mengalami strok sebelah badan hingga membataskan pergerakannya dan pada masa sama, kedua-dua warga emas itu perlu menanggung dua anak mereka yang bisu di rumah sewa mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Blok 42, Taman Cendana di sini.

Selain itu, tiga anak lain termasuk janda beranak dua turut tinggal di rumah berkenaan selepas bercerai dengan suami.


Difahamkan, kehidupan keluarga itu mula berubah apabila anak sulung, Mohd Farok Yunos, 46, meninggal dunia dua tahun lalu selepas menjadi mangsa kemalangan langgar lari di Masai.

Menceritakan keperitan hidupnya sekeluarga, warga emas Abibon Abu Kayur, 60-an, berkata, selepas Mohd Farok yang juga bisu meninggal dunia, keluarganya mula hilang punca pendapatan memandangkan anak sulungnya itu bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Masai yang menanggung perbelanjaan keluarga.


Menurutnya, lebih menyedihkan, akibat tertekan selepas kehilangan anaknya itu, suaminya Yunos Ahmadin, 80, mengalami kemurungan hingga hanya mampu terlantar.


“Saya dan suami mempunyai tujuh anak dengan empat bisu termasuk Mohd Farok, Fauziah, 43; Ismail, 40, dan Laila, 26, manakala anak yang normal ialah Maznah, 39; Jamilah, 25, dan Mariam, 23. “Anak yang sudah berkahwin ialah Laila dan kini tinggal di Pontian; Mariam tinggal di Johor Bahru manakala Maznah tinggal bersama kami dan dua anaknya selepas bercerai dengan suami beberapa bulan lalu,” katanya.

Abibon berkata, keadaan suaminya semakin teruk memandangkan warga emas itu kemurungan hingga hilang selera makan dan badannya semakin susut.


Menurutnya, walaupun Jamilah tinggal bersama tetapi hanya bekerja sebagai sukarelawan RELA dan tidak mampu menanggung keluarga.

“Dua anak yang bisu tidak mampu bekerja termasuk Fauziah mengalami tiriod manakala Ismail mempunyai masalah psikiatri.


“Kini kami menanggung Maznah dan dua anaknya berusia satu setengah tahun dan enam tahun sejak dua bulan lalu,” katanya.


Katanya, keluarganya hanya memakan lauk ayam sekali sebulan ketika menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM600 termasuk bantuan warga emas untuk suami dan bantuan OKU untuk Fauziah dan Ismail.


Menurutnya, bantuan kewangan itu digunakan untuk membayar sewa rumah RM124, bil air dan elektrik serta perbelanjaan lain.


“Kami sering makan sayur-sayuran bersama nasi kerana mahu berjimat dan bersyukur Allah masih berikan saya kekuatan untuk melakukan kerja rumah termasuk menjaga suami yang terlantar biarpun saya pernah mengalami strok hingga tangan dan kaki kanan sukar digerakkan.


“Suami seperti patah harapan kerana pelbagai masalah hingga enggan mendapatkan rawatan di hospital biar pun keadaannya semakin buruk,” katanya.


Semalam, keluarga berkenaan menerima kunjungan Pegawai JKM Johor Bahru Manayi Ibrahim selain Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Mas Imran Adam yang menyampaikan baucar beli-belah kepada keluarga berkenaan.

No comments:

Post a Comment