Damsyik: Pejuang antikerajaan di utara Syria merampas hampir keseluruhan sebuah pangkalan tentera dalam pertempuran ketiga membuahkan kejayaan mereka dalam tempoh beberapa hari.
Turut dilaporkan, pejuang antikerajaan menawan hampir semua pangkalan tentera di Aleppo, utara negara itu. Katanya, sebahagian besar pangkalan “berada dalam kawalan pejuang” sehari selepas mereka melancarkan serangan terancang ke atas dua lapangan terbang yang menjadi kemudahan strategik dikawal tentera. Berpuluh-puluh orang terbunuh, kata Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain. Pejuang antikerajaan semalam menyerang sebuah pangkalan tentera udara di al-Jarrah juga di Aleppo selepas menawan empangan terbesar Syria di wilayah bersebelahan, Raqa, sehari sebelum itu. Aktivis berkata, pejuang di Aleppo mengalih sasaran dari ibu negeri wilayah itu kepada pangkalan tentera kerana ada peluru dan senjata di situ.
Mereka juga menyerang pangkalan tentera kerana di situ ada pesawat yang digunakan untuk mengebom musuh rejim Presiden Bashar al-Assad. Di bandar Aleppo sendiri, bekalan elektrik dan air terputus untuk hari keempat.
Pusat Media Aleppo berkata, kecelakaan kemanusiaan mungkin berlaku di bandar yang pernah menjadi hab komersial Syria itu. Mengulas kemaraan pejuang antikerajaan di Aleppo, Pengarah Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman, berkata tentera mungkin terpaksa menyerahkan bahagian utara negara itu bagi menyelamatkan kawasan tengah. “Rejim Syria tahu mereka tidak mampu melakukan peralihan tanpa menguasai sebahagian wilayah untuk tawar-menawar,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment