BANGKOK 14 Feb. - Pelarian Rohingya di pusat perlindungan sementara di Thailand mengalami saat sukar dan berdepan cabaran mental dan fizikal, sementara wanita dan remaja mereka hampir terputus maklumat tentang keadaan suami serta anak masing-masing.
Komunikasi merupakan isu utama di pusat perlindungan itu dan pergaduhan sering berlaku dalam kalangan komuniti Rohingya, selain meningkatnya masalah psikologi.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah melakukan penilaian di pusat itu, namun tidak di pusat tahanan Imigresen.
Isnin lalu, Ketua Perlindungan Kanak-kanak dan Wanita Songkhla, Nittaya Mukdamas pada mesyuarat bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional berkata, beberapa insiden keganasan berlaku di pusat pelarian yang menempatkan 105 orang, termasuk 22 pendatang dari pusat tahanan Imigresen Padang Besar dan 83 lagi dari pusat Imigresen Sadao.
Katanya, keadaan masyarakat Rohingya semakin tegang dan sering bergaduh sesama sendiri, hingga seorang ibu mengandung telah diserang oleh wanita Rohingya lain yang mengakibatkannya dikejarkan ke hospital berhampiran Songkhla pada 9 Februari lalu.
Sementara itu, seorang wartawan Bangkok Post dengan bantuan penterjemah menemubual wanita itu yang dikenali sebagai Nubahar yang sedang mengandung enam bulan serta mempunyai seorang anak perempuan berusia 15 bulan sejurus dia keluar dari hospital.
''Saya mempunyai masalah dengan beberapa wanita... seorang wanita bertindak memukul saya hanya kerana saya membuka kipas,'' katanya.
Menurut Nittaya, doktor telah memeriksa keadaan wanita itu dan keganasan yang dialaminya mungkin memberi kesan kepada kandungan dan kesihatannya.
Tiga pelarian yang dituduh menyerang wanita itu kini telah diusir dari pusat perlindungan itu ekoran keputusan mesyuarat tersebut. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130215/lu_03/Pelarian-Rohingya-hadapi-saat-sukar#ixzz2KyYjYh6P
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment