Friday, February 15, 2013

Pemberontak bolosi benteng tentera Syria



Asap kelihatan di ruang udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo selepas berlaku pertempuran sengit antara tentera Syria dan pemberontak di lapangan terbang itu, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 14 Feb. - Pemberontak Syria berjaya membolosi benteng pertahanan tentera kerajaan dan semakin menghampiri lapangan terbang awam di bandar Aleppo semalam, kejadian yang mengakibatkan lebih 40 orang askar kerajaan terbunuh.
Penguasaan ke atas lapangan terbang antarabangsa Aleppo dan pangkalan tentera udara yang terletak bersebelahan boleh memberi perubahan besar ke atas kedudukan strategik di wilayah timur laut Syria, di mana pemberontak mempunyai potensi untuk menjadikannya sebagai pusat bantuan udara.
Pemberontak yang menyerang lapangan terbang sejak beberapa minggu lalu, berjaya menawan pangkalan Briged 80 tentera kerajaan yang melindungi kemudahan pengangkutan udara awam tersebut.
Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, pemberontak hampir menguasai sepenuhnya pangkalan tentera itu, semalam.
Pengarah badan hak asasi itu, Rami Abdul-Rahman berkata, lebih 40 askar termasuk dua brigadier jeneral, seorang kolonel dan dua orang leftenan kolonel maut dalam pertempuran itu.
''Sejumlah pemberontak turut terbunuh dalam pertempuran itu, namun laporan itu tidak dapat disahkan,'' katanya.
Pangkalan Briged 80 itu, terletak kira-kira dua kilometer dari lapangan terbang awam tersebut dan juga pangkalan tentera udara yang dikenali sebagai Nairab.
Kedua-dua kemudahan tersebut dilindungi oleh pasukan tentera daripada serangan pemberontak. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130215/lu_02/Pemberontak--bolosi-benteng-tentera-Syria#ixzz2KyWvWe4a
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment