Friday, February 15, 2013

Thailand buru pemisah



Narathiwat: Pasukan keselamatan Thailand melancarkan usaha operasi besar-besaran memburu pemisah bersenjata yang melarikan diri selepas gagal menyerang pangkalan tentera di daerah Bacho, Narathiwat.

Enam belas daripada 50 penyerang bersenjata raifal AK-47 dan M-16 memakai seragam tentera disahkan terbunuh ketika cuba menyerbu kem itu pada jam 1 pagi waktu tempatan kelmarin selepas ditembak askar.
Pasukan keselamatan merampas 18 senjata, beberapa bom tangan, dua motosikal dan sebuah trak pikap selepas pertempuran, yang berlanjutan selama sejam.

Serangan itu memaksa kawalan keselamatan dipertingkatkan di wilayah berkenaan untuk menghalang sebarang serangan balas.

30 melarikan diri

Kira-kira 30 daripada mereka dipercayai melarikan diri, sebahagiannya dipercayai cedera, dengan kira-kira 500 anggota pelbagai agensi keselamatan terbabit.

Penduduk diminta tidak keluar rumah di empat daerah iaitu Bareh Tai, Bareh Nua, Balukasamoh dan Kayohmati di Bacho serta dua daerah lagi di Sai Thong dan Don Sai di Mae Kaen, Pattani ketika operasi berlangsung.
Panglima Ke-4 Tentera, Udomchai Thammasarotrat selaku ketua Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri, berkata perintah berkurung tidak rasmi 24 jam yang berakhir jam 6 pagi semalam bertujuan melindungi penduduk.

Penduduk awam dikhuatiri cedera ketika pasukan keselamatan memburu saki baki militan yang mungkin menanam bom dan besi tajam ketika melarikan diri, katanya.
Lima sekolah ditutup selepas militan cuba membakar Sekolah Ban Bur Reh ketika melarikan diri.

Jurucakap tentera, Kolonel Pramote Prommin, berkata serangan ke atas pangkalan marin bertujuan membalas dendam penangkapan pemimpin pemisah dan pembunuhan Suhaidee Tahe, 31, baru-baru ini yang disyaki menembak dan membunuh seorang guru di Narathiwat, Chonlathee Charoenchol.

AGENSI

No comments:

Post a Comment