24 Mac 2013
KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar tahun ini di sekitar Kuala Terengganu dan Dungun.
Ia ekoran tertangkapnya dua buruh tempatan di Kampung Bukit Tunggal, di sini pada Rabu lalu dan merampas serbuk putih yang diisi di dalam 100 botol dipercayai dadah jenis heroin bernilai RM55,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Supt Md Tahir Kasim berkata ketika serbuan dilakukan kira-kira 11.00 pagi itu, terdapat dua suspek di dalam kediaman berkenaan.
Katanya pihak polis terpaksa memecah pintu rumah berkenaan untuk membuat penahanan berikutan suspek enggan memberikan kerjasama dan berlaku pergelutan ketika tangkapan dilakukan.
"Menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun tindakan pantas pihak polis berjaya menahan kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 24 dan 35 tahun itu daripada meloloskan diri.
"Hasil siasatan lanjut, pihak polis menemui 100 botol heroin yang diletakkan di dalam plastik di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya dadah seberat kira-kira 420 gram itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk edaran di dua daerah tersebut.
Md Tahir berkata kedua-dua suspek yang berasal dari Kuala Terengganu ini dipercayai aktif menjalankan aktiviti pengedaran sejak tiga bulan yang lalu.
Malah dipercayai dua sahabat ini menjadikan kediaman suspek utama yang berusia 24 tahun untuk tujuan pengedaran dan sebagai tempat untuk transit dadah.
"Suspek utama ini mempuyai dua rekod jenayah berhubung kes dadah dan kini kami masih giat mengesan harta kedua-dua suspek ini untuk disita," katanya.
Kedua-dua suspek kini direman sehingga 27 Mac untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama
No comments:
Post a Comment