Sunday, March 24, 2013

Sangkal tuduhan arah bunuh Jamalul Kiram

Sangkal tuduhan arah bunuh Jamalul Kiram
Anggota tentera membersihkan kawasan Kampung Tanjung Labian. Bagan Datoh: Kerajaan menyangkal tuduhan kononnya anggota komando Angkatan Tentera Malaysia diarah memasuki Filipina untuk membunuh Jamalul Kiram.

Justeru, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu anak perempuan Jamalul Kiram, Jacel Kiram, berhenti daripada membuat tuduhan seperti itu kerana ia berniat jahat.
Tuduhan berniat jahat 

Kita tidak sejahat beliau untuk melakukan pembunuhan di negara orang” Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan

Katanya, ATM tidak sejahat kumpulan pengganas terbabit yang menceroboh negara jiran bagi membunuh rakyatnya.

“Tuduhan itu berniat jahat. Jamalul Kiram jangan khuatir kerana kita (tentera) tidak akan menceroboh masuk ke Filipina dan tidak sejahat beliau untuk melakukan pembunuhan di negara orang,” katanya selepas merasmikan Dewan Hajah Tuminah Abdul Jalil di Kampung Sungai Nipah Darat di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan media Filipina, baru-baru ini, memetik kenyataan Jacel menuduh tentera Malaysia sudah berada di Manila untuk melakukan tindak balas terhadap Jamalul Kiram.

Zahid menasihatkan Jamalul Kiram jangan melakukan ‘psikologi terbalik’ untuk mendapat simpati penyokongnya dengan dakwaan komando Malaysia akan membunuhnya.
“Kalau ditakdirkan beliau dibunuh oleh orang lain, jangan menuduh ia dilakukan oleh komando dari negara ini kerana kita tidak akan masuk ke negara orang untuk membunuh,” katanya.

Beliau meminta Jamalul Kiram menyerah diri dan menasihatkan pengikutnya berundur dari Sabah dan mereka harus menerima hakikat dari segi sejarah dan undang-undang tidak mempunyai hak ke atas negeri itu.

Tiada hasrat bawa isu Sabah ke ICJ

Katanya, Malaysia juga tidak berhasrat untuk membawa isu Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Ia kerana Suruhanjaya Cobbold pada 1962 sudah melakukan pungutan suara di kalangan penduduk Sabah yang mahukan kemerdekaan dan membentuk Malaysia bersama Sarawak dan Tanah Melayu,” katanya.

Katanya, perkara itu disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum kemerdekaan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1965.

No comments:

Post a Comment