Kem pelarian terbakar, 42 terbunuh
Kebakaran itu turut memusnahkan sekolah, klinik dan dua gudang simpanan makanan.
BANGKOK - Sekurang-kurangnya 42 terbunuh, kelmarin dalam kejadian kebakaran di Kem Mae Surin di utara Thailand.

Dipetik AFP, Gabenor Wilayah Mae Hong Son, Narumol Paravat berkata,  kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang gagal menyelamatkan diri kerana api merebak dengan cepat.

"Siasatan awal mendapati kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian dapur," kata Narumol.

Sementara itu, pegawai daerah melaporkan lebih 400 penempatan sementara yang diperbuat daripada buluh serta jerami turut musnah.

Susulan kebakaran itu, kerajaan Thailand berjanji akan mengadakan siasatan penuh untuk mengetahui punca sebenar kebakaran di kem yang dihuni kira-kira 3,700 pelarian tersebut.

Kem Mae Surin itu menempatkan sekurang-kurangnya 130,000 pelarian Myanmar yang memasuki Thailand secara tidak sah sejak ia dibina pada tahun 1980-an.