Thursday, March 7, 2013

Aquino marah kedegilan pengikut Sultan Sulu



BANDAR GENERAL SANTOS - Presiden Filipina, Benigno Aquino III menyatakan kedegilan pengikut Sultan Jamalul Kiram III untuk kekal berada di Sabah telah menyebabkan perang propaganda berlaku, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam.
Aquino menggambarkan tindakan oleh Jamalul Kiram menghantar para pengikut bersenjatanya ke Kampung Tanduo, Sabah sebagai satu kesilapan dan telah mengheret negara ini ke kancah bahaya.
Pihak pemerintah berkali-kali berkata, ia bimbang mengenai status kira-kira 800,000 rakyat Filipina di Sabah.
Ramai penduduk Filipina merupakan pendatang haram yang bekerja di ladang-ladang dan beberapa sektor ekonomi lain di Sabah.
Dalam ucapan beliau semasa program bersama calon senator pentadbiran, Aquino menjelaskan tindakannya meminta para pengikut Jamalul Kiram menyerah diri dibuat kerana memikirkan kebajikan rakyat Filipina yang terjejas akibat tindakan mereka menceroboh Sabah.
Aquino menegaskan tuntutan Jamalul Kiram tentang Sabah perlu dibincang secara aman.
Beliau melahirkan rasa bimbang mengenai hubungan negara ini dengan Malaysia kerana tindakan Jamalul Kiram itu.
Katanya, hubungan dua hala di antara kedua-dua negara sudah lama terjalin dengan Malaysia menjadi fasilitator rundingan damai antara pihak pemerintah dengan Barisan Pembebasan Islam Moro.
Menurut Aquino, hubungan antara Malaysia dengan Filipina mencapai tahap yang paling merosot pada tahun 1960-an semasa negara ini diperintah oleh Ferdinand Marcos.
Menurutnya, hubungan itu merosot selepas terdedahnya rancangan Oplan Merdeka yang menunjukkan Marcos mahu menjadikan Sabah tidak stabil bagi membolehkan satu serangan dilancarkan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2MoMfeFIq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment