Thursday, March 7, 2013

OP DAULAT : PENDUDUK TG LABIAN RAYU BEKALAN MAKANAN



PENDUDUK kampung lari meninggalkan kampung mereka ekoran pertempuran antara pasukan keselamatan dan militan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, merayu supaya lebih banyak bekalan makanan dihantar ke pusat-pusat bantuan.
Sebuah daripada pusat tersebut terletak di Embara Budi, kira-kira 5km dari Tanjung Labian.
"Kerajaan telah menghantar beras dan peralatan memasak tetapi ia tidak mencukupi," kata Abdul Mukram (kanan), 32, yang melarikan diri dari Tanjung Labian empat hari lalu.
Beliau dan penduduk kampung yang lain meninggalkan rumah mereka selepas mendengar khabar angin bahawa beberapa penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo telah menyusup ke kampung Tanjung Batu yang berhampiran.
Abdul berkata, kekurangan makanan bermakna mereka perlu mendapatkan apa yang mereka perlukan dari bandar.
"Mereka yang tidak ada wang terpaksa berpuasa," katanya, sambil menambah bahawa makanan bungkus hanya dihantar sekali sahaja sejak empat hari lepas.
Aishah Idris, 40, ibu kepada empat orang anak, berkata terdapat bayi di situ tetapi tidak ada susu untuk mereka.
"Kita tidak ada pilihan, kita beri mereka makan Nestum," katanya.
Beliau juga berkata penduduk terbabit memerlukan selimut kerana mereka tidur di atas lantai simen, menggunakan kepingan kadbod dan alas dari katil.
Malaysiakini terpaksa bercakap kepada penduduk terbabit dari luar pagar, sebagai pihak polis menghalang media masuk ke dewan tersebut.
Ketua komuniti tersebut, Assaffal Alian (kanan), 48, berkata, terdapat sekurang-kurangnya 1,500 orang yang meninggalkan rumah mereka sehingga ini - 650 ditempatkan di Embara Budi dan 850 yang lain di Fajar Harapan, sebuah bandar kecil kira-kira 10km di hujung jalan.
"Bekalan makanan ok kerana kita dapat bantuan dari penduduk kampung dan pekedai di sini, serta dari individu dan Umno bahagian. Tetapi jika ini berterusan, ia tidak akan bertahan lama dan kami akan memerlukan lebih banyak makanan," katanya.
Terdapat juga keperluan untuk ambulans dan pasukan perubatan
bersiap sedia, tambahnya, kerana ada beberapa wanita yang baru bersalin dan ada kanak-kanak yang demam dan cirit-birit.
Penduduk tersebut antaranya adalah dari Kampung Tandou, Tanjung Batu, Tanjung Labian, Sungai bilis, Lok Sembuang, Lok Buani dan Kampung Ubian.
Kekurangan air
Tinjauan ke Fajar Harapan mendapati penduduk terbabit ditempatkan di tiga pusat Sekolah Kebangsaan Fajar Harapan, yang berfungsi sebagai pusat, mengalami kekurangan bekalan air.
"Hanya sebuah tangki ada air, jadi kita terpaksa membeli air mineral. Untuk mandi, kita pergi ke sungai," kata Nur Malik, 30 (kiri).
Seorang anak kecil kelihatan sedang membasuh pinggan mangkuk dengan air sungai yang diisi dalam botol mineral, manakala kaum wanita pula memasang buaian di sepanjang koridor untuk bayi.
"Kita semua tidur di atas lantai di sepanjang koridor dan di dalam dewan sekolah," kata Nur.
Malaysiakini telah bertemu dengan kira-kira 300 penduduk yang melarikan diri dari Kampung Sungai Merah semalam, tetapi tidak dapat mengesan mereka di mana-mana pusat-pusat tersebut.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, mereka telah diiringi pasukan keselamatan ke lokasi yang tidak didedahkan melalui sebuah ladang kelapa sawit.

No comments:

Post a Comment