Tuesday, March 19, 2013

'Bunga' RM14 juta dirampas

'Bunga' RM14 juta dirampas

Liah (kiri) menunjukkan bagaimana syabu disorok dalam kotak bungkusan bunga mawar segar yang dirampas pada sidang media di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Kastam di Nilai, semalam. - Foto Dzulkeffli Mustapha
Syabu 73kg diikrar mawar segar, dua lelaki kena reman

Nilai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 73 kilogram (kg) syabu bernilai RM14 juta yang diikrarkan sebagai bunga mawar segar di sebuah rumah di Taman Sri Merdeka, Ampang, Selangor, Jumaat lalu.
Dalam serbuan jam 1 pagi itu, Kastam turut menahan dua lelaki warga negara India berusia 35 dan 40 tahun.

Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar, berkata pihaknya merampas 50 kotak berisi bunga dan mendapati 17 daripadanya mengandungi syabu.

Katanya, semua dadah dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara itu disembunyikan di bawah bunga mawar di dalam kotak itu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kastam ekori lori

“Semua bungkusan tiba dari Bangalore, India Khamis lalu, namun tidak melalui proses pelepasan Kastam yang sah kerana tiada permit import.
“Bagaimanapun suspek berkeras mahu membawa keluar kotak itu.

“Selepas mendapat maklumat, Kastam mengekori lori yang membawa kotak itu dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum melakukan serbuan keesokan harinya,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Kastam di sini, semalam.

Direman tujuh hari

Liah berkata, siasatan mendapati suspek pernah tinggal di negara ini selama lima tahun manakala seorang lagi masuk ke sini dua kali untuk mengiringi kiriman.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 21 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

No comments:

Post a Comment